Gambar hiasan. Foto AIZAT ZAINAL, 06 JUN 2025.

GEORGE TOWN – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang telah meluluskan sebanyak 1,056 Permit Sembelihan Luar (PSL) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang bakal diraikan umat Islam esok.

Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kelulusan permit tersebut adalah berdasarkan Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009, yang membenarkan penyembelihan dilakukan di luar rumah sembelih berlesen bagi tujuan perayaan adat dan keagamaan.

Jelasnya, 1,056 permit yang telah dikeluarkan itu membabitkan permohonan dibuka dari 21 Mei hingga semalam.

“Daripada jumlah tersebut, Seberang Perai Tengah mencatat jumlah tertinggi dengan 375 permit, diikuti Seberang Perai Utara (288), Seberang Perai Selatan (170), Barat Daya (130) dan Timur Laut (93).

“Selain itu, sebanyak 4,220 ekor haiwan ternakan akan disembelih berdasarkan permohonan permit tersebut.

“Mengikut pecahan 3,363 ekor lembu akan disembelih di seluruh negeri ini dan diikuti dengan kambing (777), bebiri (56), kerbau (19) dan unta (5),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mengulas  lanjut Saira Banu berkata, jumlah permohonan permit ini menunjukkan komitmen masyarakat terhadap ibadah korban serta keperluan kawal selia penyembelihan mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Jelasnya, pegawai veterinar bertauliah akan menjalankan pemeriksaan kesihatan haiwan secara ante-mortem dan post-mortem selain memastikan setiap proses penyembelihan mematuhi aspek kebersihan, kesihatan dan syarak.

“Penyembelihan hanya boleh dilakukan oleh penyembelih yang beragama Islam, mahir dan mendapat kebenaran bertulis manakala lokasi sembelihan pula mesti bersih, mempunyai sistem saliran yang baik dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Haiwan yang sakit, cedera atau tidak layak disembelih mengikut garis panduan Syariah dan veterinar adalah dilarang sama sekali.

“Sehubungan itu, kita menyeru semua penganjur ibadah korban agar bekerjasama dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kelancaran sambutan Aidiladha tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast