KUALA LUMPUR – Penang FC mengumumkan kehadiran penjaga gol berpengalaman, Khairulazhan Khalid sebagai pemain baharu untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia musim 2025–2026.
Pengumuman penjaga gol kelahiran Pahang itu dibuat di Facebook rasmi kelab itu hari ini.
“Beliau merupakan antara nama yang cukup sinonim dalam bola sepak tempatan, dengan rekod penampilan cemerlang bersama pasukan negeri dan kelab elit tanah air, serta pengalaman luas bersama skuad kebangsaan Malaysia.
“Dengan kemasukkan Khairulazhan, Penang FC yakin benteng terakhir pasukan akan lebih kukuh. Kehadirannya bukan sahaja memperkuatkan persaingan posisi penjaga gol, tetapi juga membawa nilai kepimpinan dan profesionalisme tinggi ke dalam skuad Pulau Mutiara,” tulis kelab itu.
Khairulazhan mula mencuri tumpuan semasa bersama Pahang FA apabila membantu skuad Tok Gajah menjuarai Piala Malaysia 2013, sebelum berpindah ke Selangor pada 2016.
Sepanjang lapan musim bersama Red Giants, dia mencatatkan lebih 100 penampilan dan sering menjadi pilihan utama di bawah palang.
Keupayaannya membaca permainan, ketangkasan menyelamat bola, serta ketenangan dalam situasi tekanan menjadikannya antara penjaga gol terbaik Malaysia dalam era moden. – MalaysiaGazette
















