SEBERANG PERAI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kini sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular di media sosial yang memaparkan dakwaan anggota penguat kuasanya terlibat dalam salah laku.
“Siasatan berhubung dakwaan dalam video tersebut masih dijalankan,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Terdahulu tular video di aplikasi TikTok berdurasi hampir dua minit yang memaparkan seorang individu mendakwa anggota MBSP menyalahgunakan kuasa ketika menjalankan tugas di premis perniagaan milik rakannya.
Antara dakwaan serius yang dibangkitkan ialah ugutan terhadap pelanggan, meminta ‘duit raya’, menahan warga asing tanpa justifikasi yang jelas serta menyerang seorang rakyat tempatan dengan menamparnya kerana disangka warga asing.
Individu dalam video berkenaan turut menyatakan bahawa salah seorang pegawai MBSP pernah berpura-pura menyokong tindakan terhadap anggota berkenaan, namun sebenarnya mereka merupakan ‘satu pasukan’ yang sama.
Tambahnya lagi, penguat kuasa berkenaan kerap mencari kesalahan di kedai rakannya termasuk mengambil gambar staf dan pelanggan warga asing yang hadir membeli barangan.
Situasi ini dikatakan memberi kesan besar kepada pendapatan bulanan peniaga, sekali gus menimbulkan tekanan kewangan terhadap pengusaha tempatan.
Individu itu turut mendakwa tindakan yang dilakukan oleh anggota terbabit mencemarkan nama baik keseluruhan anggota MBSP, walaupun dia mengakui tidak semua warga MBSP bersikap sedemikian.
Dalam video sama, individu berkenaan juga mendakwa laporan polis serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dibuat bagi membolehkan tindakan lanjut dibuat. – MalaysiaGazette















