KUALA LUMPUR – Program Pemindahan Teknologi Sawit (TOT MPOB 2025), acara tahunan Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang akan diadakan pada 19 Jun ini bakal menawarkan
pengkomersialan teknologi dalam industri sawit kepada penggiat industri, syarikat tempatan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Lebih 500 orang peserta yang terdiri daripada penggiat industri sawit, pengusaha PMKS serta pihak yang berminat dalam pengkomersialan teknologi sawit dijangka hadir ke program tersebut.
TOT MPOB 2025 menyedia peluang pengkomersialan teknologi yang dihasilkan oleh penyelidik MPOB meliputi pelbagai sektor sawit.
Program tersebut akan menampilkan teknologi meliputi sektor huluan seperti bahan tanaman unggul, aplikasi teknologi kecerdasan buatan (AI) di ladang, teknik kawalan perosak bersepadu. Di sektor pertengahan, teknologi yang ditawarkan seperti teknologi pengilangan dan pemprosesan untuk kegunaan industri, manakala di sektor hiliran pula teknologi seperti formulasi produk penjagaan diri, produk makanan kesihatan dan makanan haiwan bakal ditawarkan.
“Penyertaan penggiat industri dalam program TOT memberi akses teknologi dan inovasi baharu dalam rantaian pengeluaran industri sawit, dan peluang untuk meneroka kerjasama penyelidikan dan pengkomersialan, perlindungan harta intelek meliputi pelesenan teknologi serta menyertai ekosistem inovasi yang sawit mampan,” kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parvee. Ghulam Kadir.
Tambahnya, TOT MPOB 2025 bakal mengetengahkan tema yang istimewa bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-25 MPOB sejak penubuhannya pada 1 Mei 2000.
MPOB turut memperkenalkan teknologi yang dibangunkan dalam tempoh 25 tahun yang relevan dengan keperluan industri dan potensi pengkomersialan.
Tambahnya, di bawah platform penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan teknologi (R&D&C), MPOB menyasarkan pembangunan ekosistem industri sawit yang mampan dan kompetitif.
Penggiat industri, pengusaha PMKS, penyelidik, pelabur dan usahawan teknologi dan pihak yang berminat dialu-alukan untuk menyertai TOT MPOB 2025 atau
mengunjungi pameran yang dibuka sehingga 5 petang.- MalaysiaGazette
















