Gambar ihsan.

BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja subkontraktor maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 27 meter ke aras bawah bangunan melalui lubang di kawasan pressurization shaft di sebuah tapak pembinaan pangsapuri di sini, semalam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, kejadian jam 10.30 pagi berlaku ketika mangsa berusia 41 tahun itu sedang menjalankan kerja-kerja ukur menegak di tingkat 8 lif lobi bangunan tersebut.

Jelasnya, sepasukan pegawai penyiasat dihantar ke lokasi sejurus menerima maklumat mengenai kejadian dan siasatan awal mendapati kawasan lubang yang menjadi lokasi mangsa terjatuh hanya ditutup dengan papan lapis dan berpagar.

“Bagaimanapun, perlindungan tersebut dipercayai tidak cukup untuk menampung beban atau mencegah risiko terjatuh.

“Susulan itu, tiga notis larangan telah dikeluarkan kepada kontraktor utama bagi menghentikan kerja-kerja berkaitan sehingga semua langkah keselamatan dipatuhi.

“Pada masa sama, kita juga mengarahkan kontraktor utama untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian serta merangka pelan penambahbaikan sebelum membuat pembentangan kepada JKKP,” katanya hari ini.

Tambah kenyataan itu, JKKP Pulau Pinang akan meneruskan siasatan susulan dengan mengambil dokumen berkaitan serta merakam percakapan daripada saksi yang telah dikenal pasti.

Katanya, tindakan perundangan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran terhadap akta tersebut.

“Lawatan ke premis majikan juga akan dilakukan bagi memastikan tindakan pencegahan telah diambil sepenuhnya.

“Kita ingin mengingatkan bahawa keselamatan di tempat kerja adalah tanggungjawab penuh majikan termasuk penyediaan pelan kerja yang selamat, langkah kawalan risiko yang berkesan dan pemantauan terhadap sebarang bahaya semasa kerja dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast