KUALA LUMPUR – MCA berterima kasih atas keprihatinan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali yang membenarkan peniaga mikro dan kecil makanan dan minuman untuk terus menggunakan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi buat sementara waktu ini.
Pengumuman terbaharu menteri itu secara langsung membuktikan isu yang dibangkitkan MCA ada asasnya, dan tidak bermain fitnah atau melempar kritikan semata-mata untuk agenda politik, tetapi sebaliknya bersuara demi kepentingan rakyat bersandarkan fakta dan realiti di lapangan.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong mengakui memang benar Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) dipinda pada tahun 2021 dan berkuatkuasa sejak 15 Oktober 2021, tetapi tiada penguatkuasaan secara keras dan meluas seperti yang berlaku dalam Ops Gasak yang bermula 1 Mei 2025.
Berikutan itu, peniaga kecil dan sederhana (PKS) meluahkan kebimbangan dan rasa tidak puas hati apabila diserbu penguatkuasa KPDN walaupun Menteri KPDN telah memberi jaminan mereka masih dibenarkan mendapat bekalan gas LPG bersubsidi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) itu berkata, kekeliruan juga timbul apabila Petronas didapati melarang pembekalan tong gas LGP bersubsidi kepada premis komersial, yang bercanggah dengan jaminan menteri.
“Presiden MCA Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dan Naib Presiden MCA Datuk Ir. Lawrence Low antara yang terawal membangkitkan isu ini sambil menggesa Menteri KPDN memberi penjelasan.
“Kini, atas hasil usaha berterusan mereka bersama pemimpin-pemimpin MCA termasuk sayap Pemuda dan Beliawanis MCA serta orang ramai, KPDN terpaksa akur dan akan membuat pindaan ke atas Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) (Pindaan) 2021.
“Kebenaran menteri kepada golongan peniaga kecil makanan sudah tentu menenangkan debaran hati mereka, di samping memastikan para pengguna tidak dibebankan lagi oleh kenaikan harga barangan yang semakin meningkat akibat keadaan ekonomi global dan dasar-dasar rasionalisasi subsidi kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Neow Choo berkata, KPDN perlu memberikan penjelasan terperinci berhubung garis panduan ini serta menerangkan siapakah sebenarnya yang tergolong dalam kategori perniagaan jualan dan makanan berskala mikro dan kecil yang dimaksudkan.
Langkah ini penting bagi mengelakkan kekeliruan bukan sahaja dikalangan peniaga, tetapi juga pasukan penguatkuasa yang bertugas dilapangan.
“Kami akan terus memantau isu ini demi kebaikan semua, dan meneruskan peranan kami sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan selaras dengan slogan #TeamRakyat yang digerakkan oleh Pemuda MCA,” ujarnya. – MalaysiaGazette















