MELAKA – Suara mengerang yang didengari penduduk kampung menjadi petunjuk kepada penemuan remaja lelaki berusia 15 tahun yang dilaporkan hilang selama 31 jam ketika menjadi lembu sejak petang kelmarin.
Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15 yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dijumpai kira-kira pukul 2.10 pagi, selepas kehilangannya sejak 6.30 petang Rabu di hutan kebun kelapa Kampung Permatang Pasir, Alai di sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, lokasi penemuannya di bawah pokok kira-kira 200 meter daripada rumah penduduk atau 600 meter dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“Kira-kira jam 1.30 pagi semasa anggota petugas PKTK membuat rondaan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar kawasan PKTK di Jalan Sidang Hashim, mereka telah dimaklumkan ada petunjuk penemuan oleh penduduk kampung.
“Penduduk memaklumkan terdengar suara seseorang mengerang di bawah pokok kira-kira 200 meter dari kawasan belakang rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, petugas SAR dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota bomba dan polis serta 10 orang penduduk kampung kemudian bergegas ke lokasi.
“Pada pukul 2.10 pagi, mangsa dijumpai separa sedar dalam keadaan terbaring di bawah pokok sebelum dimaklumkan kepada Bilik Gerakan (DCC) Melaka Tengah.
“Selepas diserahkan kepada ibunya, remaja itu diberikan pemeriksaan kesihatan awal oleh petugas ambulans yang tiba pada pukul 2.35 pagi,” katanya.

Tambah Halim, pelajar sekolah itu yang dalam keadaan stabil kemudian di bawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan susulan.
MalaysiaGazette semalam melaporkan Muhamad Aidil dilaporkan sesat di dalam hutan kebun kelapa berkenaan ketika keluar mencari lembu yang dijaganya setelah ianya hilang.
Operasi SAR pada awalnya turut tertumpu dua buah kolam terbiar berusia 80 tahun yang dikatakan ‘keras’ oleh penduduk kampung setelah lembu berkenaan dijumpai di dalam kolam berkenaan.
Saksi kejadian mendakwa hanya menjumpai lembu betina itu selepas melaungkan azan kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu walaupun sudah mencari di kolam sama dua jam sebelum itu. – MalaysiaGazette
















