JOHOR BAHRU – Seramai 150 anak muda merasakan pengalaman baharu dalam Program Ibadah Korban dan Akikah di Masjid Kampung Kangkar Tebrau di sini, hari ini.
Mereka berganding bahu menjayakan program anjuran masjid berkenaan yang memberikan pendedahan dan menanam semangat pengorbanan yang tinggi.
Sebanyak 15 ekor lembu dan lima ekor kambing tumbang yang dikorbankan hasil ibadah sumbangan individu persendirian, syarikat korporat dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Penyelaras program, Muhammad Amirul Akmal Mohd Shukor, 26, berkata, penyertaan aktif golongan belia dalam program ibadah itu sudah bermula sejak 2013.
Katanya, penglibatan generasi muda amat penting terutama bagi memupuk syiar Islam, sekali gus membuktikan masjid bukan sekadar tempat beribadah, tetapi menjadi pusat dakwah yang dekat dengan anak muda.
“Keseluruhan proses Program Ibadan Korban ini dijalankan oleh generasi muda kampung ini. Bermula dari mesyuarat, pemilihan tapak, pembelian haiwan korban hingga pengagihan daging dari rumah ke rumah dilakukan sepenuhnya oleh anak muda tempatan.
“Kita mahu mereka bukan hanya menyertai, tetapi memahami konsep pengorbanan serta objektif program.
“Sebuah masjid yang baik adalah masjid yang mendampingi generasi muda supaya mereka berilmu dan beramal,” katanya ditemui pada Program Ibadah Korban dan Akikah di masjid kampung berkenaan, hari ini.
Imam Masjid Kampung Kangkar Tebrau, Abdul Hamid Hasan pula, menyifatkan penglibatan anak muda dalam ibadah korban sebagai satu nikmat besar yang wajar disyukuri.
“Inilah diantara syiar Islam yang Nabi ajarkan kepada kita untuk lakukan ibadah korban, anak mudah telah didedahkan dengan ibadah ini sejak dibangku sekolah lagi.
“Memang kadang kala kita tidak mampu hendak mengajak anak muda penuhkan masjid, tetapi dapat bantu dari melakukan ibadah korban ini pun satu nikmat yg besar kepada kita,” katanya.
Sementara itu, lepasan graduan Universiti, Muhammad Fairus Ibrahim, 22, yang pertama kali menyertai aktiviti melapah korban mengakui pengalaman itu cukup bermakna dan menjadi titik mula untuk terus aktif bersama-sama komuniti masjid.
“Ini kali pertama saya sertai program korban. Selama ini tak pernah berpeluang. Rasa gembira sangat sebab dapat pengalaman baru dan dapat eratkan hubungan dengan penduduk kampung, terutama generasi lebih berusia,” katanya.
Pandangan sama dikongsi Juruteknik, Mohamad Raziq Abd Razak, 24, berkongsi rasa syukur diberi peluang menyumbang tenaga.
“Saya amat berbesar hati dapat turun padang, tolong sama-sama dalam program masjid.
“Ini satu peluang untuk dekatkan diri dengan syiar Islam, dalam masa sama dapat belajar lebih mendalam lagi mengenai ibadah korban ini. Alhamdulillah,” katanya.- MalaysiaGazette
















