BUKIT MERTAJAM – Remaja lelaki berusia 16 tahun memerlukan sumbangan berjumlah RM70,000 bagi menjalani pembedahan jantung.
Badrul Isyraf Haziq yang sebelum ini aktif bersukan merupakan penghidap masalah ‘Atrial Tachycardia’ iaitu denyutan jantung laju akibat gangguan elektrik dalam jantung baru-baru ini.
Ibunya, Nurul Husna Hashim, 39, berkata, anak sulungnya yang menggemari sukan sepak takraw itu pada mulanya mengadu mengalamai degupan jantung laju, sukar bernafas dan sakit dada pada Aidilfitri lalu.
Katanya, anaknya itu kemudiannya dikesan dengan penyakit tersebut setelah menjalani pemeriksaan lanjut di hospital.
“Menurut doktor, jantung manusia biasanya mempunyai dua ‘suis’ elektrik dan dalam kes anak saya ini, jantungnya mempunyai tiga suis.

“Kata doktor, suis tambahan itu menghantar isyarat yang mengganggu rentak jantung, menyebabkan denyutan menjadi tidak normal. Oleh itu, pembedahan perlu dilakukan untuk memutuskan suis yang menghantar isyarat salah tersebut,” katanya.
Menurut Nurul Husna, pakar kardiologi sebuah hospital di Kedah turut mencadangkan Badrul Isyraf menjalani prosedur ‘radiofrequency ablation’ (RFA) iaitu satu kaedah menggunakan tenaga elektrik (350–500 kHz) untuk menghasilkan haba dan membakar laluan elektrik yang mengganggu rentak jantung agar denyutan kembali normal.
“Namun, prosedur itu memerlukan tempoh menunggu antara enam bulan hingga setahun lebih dan pesakit juga perlu menanggung sendiri kos alat khas yang digunakan.
“Kami berharap anak dapat menjalankan pembedahan secepat mungkin, jika tidak keadaan kesihatannya akan menjadi rumit,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga pelajar Tingkatan Empat itu amat memerlukan dana RM70,000 bagi merealisasikan pembedahan yang ditetapkan pada 24 Jun ini.
“Mereka telah tampil ke pejabat kami bagi memohon bantuan dana dan kita berbesar hati membantu mengumpul bantuan orang ramai.
“Ibunya yang bekerja sebagai anggota polis perlu menanggung tanggungjawab dan membesarkan Badrul serta dua lagi anak berusia tujuh dan 10 tahun.
“Justeru orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817) atau melalui laman web onehopecharity.org,” katanya.
Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 04-539 9212, 016-419 2192, 019-232 2192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette















