KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan kenyataan tular berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JIM Malaysia, Ismail Mokhtar berkata, kenyataan itu tidak benar dan tidak pernah dikeluarkan oleh pihaknya.
“Kita ambil maklumkan penularan kenyataan bertarikh 5 Jun 2025 berhubung garis panduan pengagihan daging korban di masjid sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
“JIM tidak mengeluarkan sebarang arahan atau panduan sebagaimana yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa merujuk kepada saluran rasmi jabatan untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ismail, JIM memandang serius penyebaran maklumat palsu yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.
Ujarnya, sebarang penggunaan lambang rasmi dan nama jabatan tanpa kebenaran adalah satu kesalahan dan boleh diambil tindakan undang-undang.
“Jabatan ini amat menghargai kerjasama semua pihak dalam menyalurkan dan berkongsi maklumat yang sahih. Orang ramai minta agar berhati-hati dan bertanggungjawab dalam menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















