PUTRAJAYA – Malaysia menyokong langkah kedua-dua negara yang bergolak termasuk Thailand dan Kemboja untuk meneruskan proses rundingan dan perbincangan pada 14 Jun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia sedia memberi kerjasama dalam memastikan kedua-dua negara dapat menyelesaikan tuntutan sempadan di atas meja rundingan itu.
“Saya sudah bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri, mereka telah mengambil beberapa langkah yang kita sokong, iaitu rundingan 14 hari bulan mengenai sempadan Kemboja dan Thailand.
“Saya sedia mengikuti dan beri kerjasama yang perlu, tapi setakat ini kedua-dua kerajaan ambil sikap untuk meneruskan rundingan secara baik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri menunaikan Solat Aidiladha berjemaaah dengan rakyat tempatan dan warga asing di Masjid Putra.
Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sebelum ini, media melaporkan tentera Thailand dan Kemboja bertempur di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja hingga mengakibatkan seorang tentera terbunuh.
Susulan kematian itu, Kemboja mengumumkan untuk membawa pertikaian sempadan itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (CIJ).
Selain itu, Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra komited untuk mempertahankan kedaulatan negara itu mengikut undang-undang dan perjanjian sedia ada dengan Kemboja termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) 43.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pergolakan antara Pakistan dan India, Perdana Menteri berharap konflik kedua-dua negara itu dapat mencapai pendamaian.
“Saya Pakistan-India cuma kita mengharapkan ada perdamaian sahaja, tapi saya tiada peranan apa-apa, cuma berikan pandangan sahaja,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN sedia membawa hasrat Pakistan untuk menjadi rakan penuh dialog rantau itu dalam meja rundingan.
“Yang itu akan dibawa ke persidangan dan perbincangan dengan ketua-ketua ASEAN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















