Aksi petugas melaksanakan ibadah penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JUN 2025.

SUBANG JAYA – Masjid Putra Heights buat kali pertama menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih seekor lembu jenis baka blonde campuran limousine.

Apa yang menarik, lembu yang digelar lembu sado itu adalah saiznya besar dengan berat satu tan.

Lembu yang berusia empat tahun dan berharga RM20,000 itu disumbang oleh Kay’s Steak & Lobster menjadi antara 15 lembu dan seekor kambing yang dikorbankan pada program ibadah korban tahun ini di masjid itu.

Pengarah Urusan Kays Steak & Lobster, Muhammad Aizuddin Mohd Khalid berkata, sumbangan itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat restoran aneka stik dan udang kara premium itu bersama komuniti setempat melalui ibadah korban yang dituntut dalam Islam.

Beliau berkata, lembu sado bernama Pak Tam itu dipilih dan dan ditempah sejak Disember lalu menerusi seorang penternak dari Teluk Intan, Perak.

Tambahnya, sejak itu haiwan tersebut dijaga dengan pemakanan yang teliti untuk mencapai berat yang disasarkan.

Mohd Aizuddin Mohd Khalid bercakap pada media semasa ibadah korban Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JUN 2025.

“Dengan berat satu tan atau 1,000 kilogram (kg), kami menjangka selepas dilapah, sebanyak 700 kg isi daging yang segar dapat diperolehi untuk diagihkan kepada ahli kariah masjid dan orang ramai.

“Kami juga akan mengagihkan daging lembu sado kepada mangsa-mangsa yang insiden kebakaran letupan paip gas pada April lalu menerusi pihak masjid kerana mereka menyambut Aidiladha secara ala kadar selepas kediaman mereka masih musnah,” katanya kepada MalaysiaGazette di pekarangan masjid di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Aizuddin berkata, pihaknya memilih Masjid Putra Heights untuk melakukan ibadah korban pada tahun ini kerana memulakan operasi cawangan pertama di sini sejak 11 tahun lalu sebelum berkembang kepada empat cawangan ketika ini.

Kata beliau, pihaknya ingin berkongsi rezeki dengan komuniti setempat apatah lagi Masjid Putra Heights sebelum ini menjadi antara dua ua pusat pe­min­­dahan sementara (PPS) yang menempatkan mang­sa tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu selama dua minggu.

Aksi petugas melaksanakan ibadah penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Masjid Putra Heights, Subang Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 7 JUN 2025.

Sementara itu, pengurus masjid berkenaan, Abdul Hadi Hidzan berkata, pihaknya teruja untuk menyembelih lembu sado itu walaupun ia merupakan pertama kali mendapat sumbangan haiwan seberat satu tan itu.

Menurutnya, sebagai persiapan awal, pihaknya masjid telah bertanya dengan mereka yang pernah melaksanakan ibadah korban lembu sado sebelum ini dan telah seorang penyembelih khas lembu sado yang memiliki pengalaman.

“Sebenarnya cabaran untuk menyembelih dan melapah lembu sado lebih mudah dilakukan berbanding lembu berat biasa.

“Sebanyak 200 petugas sukarelawan telah berjaya didaftarkan dan kami menjangkakan proses melapah semua haiwan korban korban ini akan selesai sebelum solat Zohor,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast