GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang akan membawa isu pemberian diskaun 5.0 peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit hartanah tidak terjual (overhang) untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri akan datang.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah itu dibuat susulan maklum balas orang awam berhubung dasar berkenaan yang tular sejak beberapa hari lalu.
“Sebagai parti yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan, DAP sentiasa memperjuangkan prinsip keadilan dan kebajikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beliau bersetuju agar isu ini dibawa untuk semakan semula serta perbincangan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Adalah penting untuk kerajaan negeri Pulau Pinang terus menjunjung prinsip keadilan sosial dan memastikan hak setiap rakyat Malaysia untuk memiliki rumah dipelihara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Khamis lalu, Kerajaan Pulau Pinang memperkenalkan insentif diskaun lima peratus kepada komuniti India Muslim bagi pembelian unit kediaman dan komersial menerusi dasar baharu, Dasar Pemangkin Momentum Sektor Hartanah dan Pemilikan Rumah Inklusif Madani (Madani Home Ownership Campaign – MOC).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo, berkata, insentif itu berkuat kuasa mulai 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, khusus kepada golongan India Muslim yang berminat untuk memiliki hartanah di negeri ini.
Selain itu, beliau berkata, Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) turut memperkenalkan kategori khas Rumah MutiaraKu Jenis D (RMKu D) dengan harga siling maksimum RM400,000, dikhususkan kepada pembeli berpendapatan isi rumah sehingga RM15,000 sebulan.
“Unit di bawah kategori ini tidak dibenarkan dijual di pasaran terbuka dan tidak boleh dijadikan pematuhan kepada syarat pembangunan.
“Antara insentif lain di bawah dasar MOC termasuk pengurangan kadar sumbangan bagi pemaju yang tidak menyediakan unit RMKu Jenis A atau B secara fizikal,” katanya. – MalaysiaGazette
















