MELAKA – “Aidil beritahu dia langsung tak sedar apa-apa sepanjang lebih 31 jam hilang malah rasa seperti baru sejam dua sehinggalah dia dikejutkan anggota bomba yang menemuinya terbaring di bawah pokok kira-kira 600 meter dari lokasi asal.
“Selepas ini, saya serik untuk membenarkannya menjaga lembu lagi kerana sebagai ibu, saya percaya Aidil mungkin sudah berada di ‘alam lain’ sejak Rabu lalu kerana kewujudan makhluk halus ini juga ada disebut dalam hadis,”.
Itu diceritakan Siti Norehan Azhar, 38, yang bersyukur apabila anaknya, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, yang juga orang kurang upaya (OKU) pembelajaran dijumpai selamat dalam keadaan lemah pada pukul 1.57 pagi semalam.
Remaja itu dilaporkan hilang sejak 6.30 petang Rabu lalu ketika keluar mencari lembu jagaannya yang hilang di kawasan hutan kebun kelapa Kampung Permatang Pasir di sini, yang diketahui penduduk merupakan kawasan ‘keras’ kerana menjadi laluan makhluk halus.
Siti Norehan berkata, dia kini sedang menemani anak keduanya itu yang masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka dan belum bersedia untuk ditemubual mengenai insiden mistik berkenaan kerana masih terkejut.
“Aidil beritahu sepanjang kehilangannya, dia tidak melalui sebarang peristiwa atau mimpi aneh malah tidak mendengar pun suara orang memanggilnya sepanjang 31 jam operasi mencari dilakukan puluhan anggota pihak berkuasa dan penduduk kampung.
“Kali terakhir yang dia ingat adalah berada berhampiran kolam dalam kebun untuk mencari lembu betina yang hilang sehinggalah dia dijumpai kira-kira 600 meter dari kolam pukul 2 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar (tengah) dan timbalannya, Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah turut meluangkan masa melawat Aidil di Hospital Melaka, semalam.
Mengulas lanjut, Norehan berkata walaupun hairan bagaimana anaknya boleh berjalan sejauh itu tanpa dilihat puluhan anggota pihak berkuasa dan penduduk kampung yang mencarinya selama hampir dua hari, dia percaya ia ada kaitan dengan unsur mistik.
“Sebab itu, lepas ini saya serik untuk membenarkannya ke situ lagi kerana ramai yang cakap anak saya sudah ‘ditanda’ oleh ‘alam sebelah’ takut-takut lepas ini bila terjadi lagi Aidil akan ‘diambil’ terus.
“Sedangkan Aidil baru hilang 31 jam pun hidup saya sudah macam nak gila, apatah lagi lebih dari itu tak tahulah bagaimana saya hendak berdepan keadaan itu,” tambahnya.
Siti Norehan berkata, apa yang berlaku terhadap anak kedua daripada enam beradik itu juga membuktikan kebesaran Allah dan berharap dapat memberi pengajaran kepada semua pihak.
“Terima kasih kepada pihak polis, bomba, agensi lain serta orang kampung dan semua pihak yang berhempas pulas melakukan pelbagai cara untuk membantu mencari Aidil.
“Saya harap warga net juga dapat menghentikan pelbagai tuduhan mengatakan saya tidak sepatutnya membiarkan Aidil membantu pak ciknya menjaga lembu sendirian sedangkan mereka tidak berada di tempat saya,” katanya lagi.
Kelmarin, MalaysiaGazette melaporkan operasi mencari dan menyelamat dilakukan pelbagai pihak termasuk dengan cara pencarian alternatif yang turut tertumpu di dua buah kolam terbiar berusia 80 tahun di situ dikatakan ‘keras’ setelah lembu berkenaan dijumpai selamat di dalam kolam berkenaan.
Saksi kejadian mendakwa hanya menjumpai lembu betina itu selepas melaungkan azan kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu walaupun sudah mencari di kolam sama dua jam sebelum itu. – MalaysiaGazette
















