KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menutup sebahagian Jalan Raja secara percubaan bermula dari 9 hingga 15 Jun 2025, melibatkan laluan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, bermula dari simpang Jalan Tun Perak hingga ke persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Sepanjang tempoh ini, perubahan aliran trafik akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran pergerakan kenderaan.
Kenderaan ringan dari arah Jalan Raja (inbound) masih dibenarkan membelok ke kanan memasuki Jalan Tun Perak.
Namun, kenderaan dari arah Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak tidak dibenarkan untuk memasuki Jalan Raja.
Papan tanda pandu arah dan pengawasan oleh petugas penguat kuasa akan disediakan sepanjang pelaksanaan bagi membantu pengguna jalan raya menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
Dalam tempoh ini juga, laluan bas GO-KL, RapidKL dan Hop On Hop Off (HOHO) akan mengalami perubahan sementara susulan penutupan jalan berkenaan.
Oleh itu, pengguna perkhidmatan tersebut dinasihatkan untuk merujuk kepada operator perkhidmatan masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan perubahan laluan dan hentian bas yang terlibat.
Langkah penutupan ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif DBKL ke arah mewujudkan pusat bandar Kuala Lumpur yang lebih berdaya huni, mesra pejalan kaki dan tersusun.
Penutupan sebahagian Jalan Raja akan membuka ruang yang lebih luas dan selamat untuk pejalan kaki, khususnya kepada keluarga, kanak-kanak, warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Selain memberi keselesaan kepada pengguna ruang awam, kawasan bersejarah Dataran Merdeka turut berpotensi untuk dihidupkan semula sebagai pusat aktiviti seni, budaya dan interaksi sosial yang lebih dinamik.
Dalam masa yang sama, persekitaran ini juga mampu merangsang ekonomi tempatan dengan memberi peluang kepada penjaja kecil, usahawan kreatif serta industri pelancongan bandar untuk berkembang dengan lebih rancak.
Dengan menjadikan kawasan pusat bandar lebih bebas daripada kesesakan kenderaan dan lebih tertumpu kepada interaksi manusia, Kuala Lumpur mampu bergerak ke arah pembentukan sebuah bandar raya yang lebih seimbang, inklusif dan beridentiti.
Bagi memastikan setiap pandangan dan keperluan warga kota diambil kira, DBKL sedang melaksanakan satu tinjauan awam bagi mendapatkan maklum balas orang ramai terhadap cadangan penutupan ini.
Tinjauan ini boleh disertai dengan melayari laman sesawang https://shorturl.at/FH6mB.
DBKL berkata, segala maklum balas yang diterima akan diteliti dan dijadikan asas pertimbangan dalam menilai keberkesanan pelaksanaan ini serta dalam membuat keputusan bagi pelaksanaan jangka panjang pada masa akan datang. – MalaysiaGazette
















