PELABUHAN KLANG – Dua mayat mangsa insiden bot terbalik di Tanjung Harapan pada Jumaat lalu ditemui pagi ini.
Kedua-dua mayat yang juga merupakan pasangan suami isteri ditemui pada 7.45 pagi tadi pada jarak di 0.1 batu nautika dari Northport.
Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Mohd Syafiq Sazali berkata, kedua-dua mayat ditemui semasa Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan sejak 7 pagi tadi.
“Kedua-dua mayat dibawa ke jeti pada jam 8.50 pagi, dan pihak polis akan membawa dua-dua mangsa untuk dibawa ke hospital,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua mangsa iaitu Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, ditemukan berasingan pada jarak 200 meter antara satu sama lain.
“Ketika ditemui mangsa terapung,” tambahnya.
MalaysiaGazette difahamkan, kedua-dua mangsa akan dibawa ke Unit Forensik, Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.
Sebelum ini, media melaporkan bot yang dinaiki enam individu termasuk dua pasangan tersebut terbalik di perairan Tanjung Harapan kira-kira pukul 4 petang pada Jumaat lalu.
Terdahulu, tiga mangsa yang ditemukan semalam adalah anak lelaki pasangan suami isteri itu, Darren Gan, 3; Cheu Son Hin, 50; dan Fong Yong Sen, 29.
Ketiga-tiga mereka ditemui dalam bot terbabit.
Manakala, seorang lagi mangsa dikenali sebagai Chang Yan Qin Alvin, 17, terselamat.
Polis berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.
Susulan kejadian berkenaan, pihak polis juga mengesahkan telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana membawa bot dalam keadaan gopoh.
Terdahulu, operasi SAR digerakkan oleh empat agensi iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).-MalaysiaGazette















