Presiden Parti Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa kerajaan merangka satu rangka kerja undang-undang yang menyeluruh bagi memastikan maklumat peribadi dan data rakyat dilindungi sepenuhnya.

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, walaupun sudah wujud beberapa undang-undang seperti Akta Perdagangan Elektronik, Akta Keselamatan Siber dan Akta Perlindungan Data Peribadi, tiada satu pun daripadanya yang benar-benar bersifat khusus menjamin privasi individu secara menyeluruh.

“Kerajaan Madani seharusnya memperbaiki kekurangan ini demi memastikan perlindungan yang komprehensif dan berkesan terhadap data peribadi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dominic turut menekankan keperluan mewujudkan dasar dan peraturan yang jelas serta telus bagi menjamin hak dan perlindungan rakyat agar tidak dipandang remeh khususnya dalam era digital yang serba mencabar ini.

Mengulas isu pengumpulan data oleh pihak berkuasa, beliau mempersoalkan jaminan yang diberikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung data yang dianonimkan.

“Persoalannya, siapa yang tahu sama ada data itu tidak akan menjadi senjata politik pada masa akan datang? Data-data ini amat sensitif dan rakyat berhak untuk mempersoalkannya,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan penyalahgunaan kuasa dalam era data raya di mana maklumat peribadi boleh digabungkan secara teknologi untuk membentuk gambaran lengkap seseorang individu.

“Sekiranya kuasa kerajaan tidak mempunyai batasan, maka segala kemungkinan boleh berlaku. Keadaan ini boleh menyebabkan ketakutan dalam kalangan media dan juga pihak lawan politik,” katanya lagi.

Tambahnya, kerajaan perlu mempertimbangkan undang-undang yang lebih ketat bagi mencegah kebocoran data dan penyalahgunaannya, yang bukan sahaja menjejaskan privasi tetapi turut mengancam keselamatan dan kestabilan negara.

“Dalam dunia yang semakin bersambung ini, pengumpulan dan penyimpanan data peribadi serta maklumat biometrik sudah menjadi kebiasaan. Namun, ia juga membawa risiko kebocoran, pengubahsuaian, pemalsuan dan penyalahgunaan maklumat,” katanya.

Justeru, Dominic menegaskan bahawa setiap proses pengumpulan data mestilah mendapat keizinan jelas daripada pemiliknya, serta dilaksanakan melalui rundingan awam yang menyeluruh dan pemantauan oleh badan bebas.

“Ia tidak boleh dilakukan secara sembunyi atau hanya dimaklumkan selepas media membuat pendedahan. Tindakan sebegini hanya mengundang syak wasangka dalam kalangan rakyat,” ujarnya. MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast