KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menyemak isu larangan keluar negara yang dikenakan terhadap aktivis seni, Fahmi Reza.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu.
“Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Fahmi menerusi hantaran di laman Facebooknya menyatakan bahawa nama beliau telah disenarai hitam dan dilarang ke luar negara.
“Hari ni, pada hari jadi aku, dan pada Hari Raya Aidiladha, aku dapat tahu aku kena blacklist, dilarang ke luar negara,” ujarnya.
Menurut kenyataan itu, PMO akan terus memantau perkembangan tersebut dengan sewajarnya. – MalaysiaGazette
















