Polis membuat hebahan Sabri Ismail sebagai orang hilang (OH) di Jerantut

KUANTAN –  Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumahnya di Taman Sri Embun, Jerantut sejak 2 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, Sabri Ismail yang berusia 36 itu dipercayai keluar dari rumah tanpa membawa telefon bimbit, dompet dan motosikalnya.

”Kehilangan mangsa yang memegang kad OKU mental itu disedari kakaknya yang kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Jerantut pada 7 Jun kerana bimbang keselamatan adiknya yang mempunyai masalah mental,”

“Pada hari kejadian, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju T-shirt hitam, seluar slack biru gelap, berkaca mata dan berselipar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Zukri, mangsa berketinggian kira-kira 178 sentimeter, berbadan gempal dan berkulit cerah.

Jelasnya, anggota polis telah diarahkan untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan Taman Sri Embun.

Sebelum ini katanya, mangsa pernah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak mangsa diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut di talian 09-2662222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast