KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang penjawat awam kelmarin selepas disyaki sengaja mencalarkan dua buah kereta menggunakan kunci di kawasan parkir di Taman Pandan Mewah dekat sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang berusia 41 tahun itu disyaki melakukan perbuatan terbabit pada 19 dan 22 Mei lalu.
Menurutnya, mangsa membabitkan dua wanita tempatan bersepupu yang meletakkan kenderaan mereka di lot parkir sama.
“Dalam kejadian pertama pada 19 Mei, mangsa meletakkan kenderaan jenis Honda di lot parkir berkenaan. Dia kemudian mendapati ada kesan calar di bahagian kanan pintu depan dan belakang namun tidak pasti siapa pelakunya.
“Pada 22 Mei kira-kira pukul 1 pagi, sepupu mangsa pertama ini meletakkan kenderaan jenis Toyota di lot parkir sama dan mendapati terdapat kesan calar di pintu belakang sekitar pukul 6.40 pagi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, mangsa telah membuat aduan kepada pengurusan apartment berkenaan sebelum membuat semakan kamera litar tertutup (CCTV) yang merakamkan kejadian itu.
Berdasarkan rakaman, mangsa melihat seorang lelaki sama yang juga penduduk apartmen itu berjalan di sebelah keretanya dan sepupu dalam kedua-dua kejadian.
Tegas beliau, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis menahan suspek pada pukul 5.35 kelmarin di perkarangan kawasan parkir apartmen terbabit.
“Suspek berusia 41 tahun bekerja sebagai kerani di sebuah universiti awam ditahan dan turut dirampas serangkai anak kunci bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Mohd Azam berkata, mangsa dan suspek tinggal di kawasan sama namun dipercayai tidak mengenali antara satu sama lain.
Motif kejadian masih dalam siasatan manakala semakan juga mendapati, suspek terbabit tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat. – MalaysiaGazette
















