Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Syarikat telekomunikasi (telco) tidak akan mendedahkan maklumat data peribadi individu kepada mana-mana pihak.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penyerahan data maklumat pengguna lebih menjurus kepada pengumpulan maklumat yang lebih terperinci mengenai mutu, tahap perkhidmatan dan jumlah pengguna di sesebuah mukim atau daerah.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ambil maklum. Arahan kepada syarikat telekomunikasi untuk menyerahkan data panggilan telefon merupakan keputusan Kabinet.

“Ia bertujuan untuk pengumpulan data bagi tujuan pengetahuan statistik rasmi. Sekarang ini banyak daripada maklumat tentang sektor telekomunikasi masih bersifat terlalu umum,” katanya pada sidang media selepas Majlis Korban Perdana Perpaduan UMNO, Lembah Pantai 2025, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan anak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Nooryana Najwa.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong melahirkan kebimbangan terhadap tindakan kerajaan yang didakwa mengarahkan semua syarikat telekomunikasi (Telco) menyerahkan data penuh pengguna telefon di Malaysia.

Ia termasuk rekod panggilan, penggunaan internet dan lokasi Sistem Kedudukan Global (GPS).

Menurutnya, tindakan kerajaan itu bukan sahaja membangkitkan persoalan daripada sudut prinsip asas privasi rakyat, malah membuka ruang kepada kemungkinan penyalahgunaan maklumat peribadi rakyat Malaysia pada masa akan datang.

Sementara itu, Fahmi berkata, data pengguna yang diperoleh daripada Telco bertujuan menambah baik infrastruktur rangkaian.

Ujarnya, data berkenaan adalah untuk kegunaan Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi merangka dasar berkaitan industri telekomunikasi.

“DOSM nanti dia boleh buat laporan dan MCMC pun boleh buat beberapa keputusan tentang dasar berdasarkan bukti, jadi dia lebih kepada Telco dan juga penggunaan 4G dengan 5G dan jalur lebar,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast