Aksi pertarungan kedua-dua pasangan pada pada aksi final Terbuka Indonesia, hari ini. Gambar: Facebook Malaysia BL Squad

KUALA LUMPUR – Hasrat beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk bergelar juara pada kejohanan bertaraf Super 1000 buat kali pertama tidak tercapai.

Ia kerana pasangan negara itu tewas 25-23, 12-21, 19-21 di tangan pasangan nombor satu dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada aksi final Terbuka Indonesia hari ini.

Bagaimanapun, pasangan negara itu wajar diberikan pujian kerana mereka bermain bermati-matian untuk menewaskan lawan mereka, sebelum terpaksa akur dengan kejaguhan penentangnya dalam pertarungan selama satu jam 27 minit.

Pada aksi di Istora Senayan itu, Pearly-Thinaah yang muncul juara Terbuka Thailand bulan lalu, dilihat tiada harapan untuk menang di set pertama apabila pada satu ketika ketinggalan agak jauh.

Bagaimanapun mereka kembali memperkemaskan rentak permainan sehingga mendahului 19-17 dan ketenangan mengawal situasi di saat genting membuahkan hasil apabila meraih kemenangan 25-23.

Selepas beraksi selama 31 minit hanya di set pertama, Pearly-Thinaah hilang sedikit fokus pada set kedua yang akhirnya menyaksikan mereka tewas 12-21 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi di set penentuan menjadi cukup sengit, namun ketenangan dipamerkan gandingan China itu di saat genting menyaksikan mereka keluar selaku pemenang.

Pearly-Thinaah membawa pulang AS$50,750 (RM214,574) selaku naib juara,  manakala lawan mereka merangkul AS$107,300 (RM453,671).

Kali terakhir beregu wanita negara muncul juara di Terbuka Indonesia adalah menerusi Chin Ee Hui-Wong Pei Tty pada 2009. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast