Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz menjelaskan tiada sebarang perbincangan yang berlaku antaranya dan Parti Keadilan Rakyat untuk terlibat dalam mana-mana pilihan raya kecil (PRK) baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Bahkan, kata beliau, mengadakan pilihan raya juga bukan sebahagian daripada pertimbangannya dalam membuat keputusan untuk menyertai PKR.

Tengku Zafrul menegaskan beliau tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana ia melibatkan masa dan duit rakyat.

Katanya, beliau akan terus melaksanakan tugas saya sebagai seorang Ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan bulan Disember 2025.

Bagaimanapun, beliau menyerahkan sepenuhnya kedudukannya sebagai menteri kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat, dan selagi khidmat saya diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan itu, Tengku Zafrul turut berkongsi beliau sudah selesai menunaikan ibadah haji.

Baru-baru ini, bekas menteri, Khairy Jamaluddin berkata, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz akan diberikan peluang untuk bertanding di kerusi parlimen Ampang.

“Mungkin dia akan dilantik sebagai penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri bertaraf Menteri. Saya yakin beliau akan diberi satu kerusi selamat untuk parlimen, PRU nanti… Ampang,” katanya dalam siaran Keluar Sekejap.

Bagaimanapun, China Press melaporkan PKR dijangka tidak akan mewujudkan pilihan raya kecil untuk membuka laluan kepada Tengku Zafrul memasuki Kerajaan Negeri Selangor.

Memetik pemimpin akar umbi, media tersebut melaporkan, memandangkan pilihan raya umum dijangka diadakan dalam kira-kira setahun, PKR lebih cenderung untuk meletak beliau bertanding di kawasan Parlimen di Selangor.

Antara kerusi yang disebutkan ialah Ampang, yang kini disandang Rodziah Ismail.

Menerusi kenyataan itu, Tengku Zafrul juga menegaskan sekali lagi keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi saya sepenuhnya, bukan atas sebarang paksaan.

“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.

“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast