Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) kesal dengan tindakan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong kerana mempertahankan Fahmi Reza selepas disekat ke luar negara.

Namun Kah Leong hanya berdiam diri ketika Fahmi memfitnah dan mengaibkan Yang Di-Pertua Sabah, Tun Musa Aman dengan karikatur, kata Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar.

“Walaupun Kah Leong mempunyai hak untuk mempertahankan Fahmi namun dikesali beliau tidak mempersoalkan pihak berkuasa kerana tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas Fahmi.

“Sehingga ke hari ini, tiada tindakan diambil ke atas Fahmi atas kesalahan menghina dan menjatuhkan maruah Tuan Yang Terutama Di-Pertua Negeri Sabah melalui karikatur walaupun puluhan laporan polis telah dibuat ke atas dirinya.

“⁠Adakah kerana Musa Aman orang dari Sabah menyebabkan Ketua Pemuda itu mengambil pendekatan berdiam diri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan DAPSY tidak bersetuju dengan tindakan Kerajaan Madani melarang Fahmi yang juga aktivis dan artis grafik ke luar negara selepas beliau turut disenarai hitam memasuki Sabah baru-baru ini.

Kah Leong berkata, tidak sepatutnya seseorang yang hanya menyindir melalui lukisan dan tulisan disekat pergerakannya ke mana-mana.

Selain itu, Zulkarnain berkata, pelantikan Musa sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sabah telah dibuat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Sudah tentu perlu melalui proses ketat di mana calon yang layak mengisi jawatan tersebut termasuk bebas daripada salah laku jenayah.

“⁠Adakah individu yang mempertahankan Fahmi beranggapan bahawa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah berlaku khilaf melantik Tun Musa untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya.

Menurut Zulkarnain, Tun Musa tidak pernah disabitkan bersalah oleh mana-mana mahkamah di Malaysia atas kesalahan rasuah atau jenayah lain, atas alasan apa Fahmi membuat tuduhan jahat seperti itu.

“⁠Tun Musa juga dikenali seorang tokoh korporat sebelum menceburkan diri dalam bidang politik malahan satu-satunya anak Sabah yang pernah memiliki bank.

“⁠G57 agak pelik sehingga kini Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tidak pernah diangkat Fahmi sebagai koruptur nombor satu di Sabah sedangkan beliau pernah direman berkaitan kes rasuah membabitkan projek luar bandar bernilai RM1.5 billion.

“Apatah lagi Ketua UMNO Sabah, Bung Moktar Radin yang sedang bergelut dengan kes rasuah bernilai RM2.8 juta dan Presiden Parti KDM Datuk Peter Anthony atas kesalahan menipu Universiti Malaysia Sabah (UMS),” katanya.

Katanya lagi, tindakan Fahmi yang hanya menyasarkan Musa dilihat agak pelik seolah-olah telah diperkudakan oleh pihak tertentu.

“⁠Apa yang menyebabkan Fahmi dilihat begitu kebal daripada undang-undang justeru rakyat Sabah akan terus menjadi pemerhati dan akan membuat keputusan bila tiba masanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast