Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya menghentikan semua pengumpulan data rakyat negara ini yang sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata,  kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang mempertahankan arahan pengumpulan data oleh SKMM kepada syarikat-syarikat telekomunikasi “berbentuk agregat” dan “bukan peribadi” adalah lemah.

Hakikatnya, dakwa beliau, arahan ini membuka pintu kepada pelanggaran hak privasi rakyat dan risiko pelbagai manipulasi data oleh mereka yang berkuasa.

Bahkan, pengumpulan data ini dikatakan pintu belakang kepada pencerobohan privasi berskala besar yang sedang dinormalisasikan oleh kerajaan yang mahu menjadi “Abang Besar” kepada rakyat.

Ini kerana data yang dikumpulkan masih boleh digabungkan dengan sumber data lain untuk menghasilkan profil individu dengan tujuan yang hanya diketahui oleh mereka yang memegang kuasa.

Beliau yang mengucapkan terima kasih kepada South China Morning Post kerana membongkar arahan kerajaan ini tertanya-tanya jika tiada pembongkaran media antarabangsa, adakah kerajaan akan teruskan langkah ini secara senyap-senyap.

“Saya dimaklumkan bahawa arahan ini adalah lanjutan dari projek kerajaan yang dinamakan “Mobile Phone Data project (MPD). Dikatakan bahawa pada 19 April 2023 lagi Kabinet telah membuat keputusan berkaitan MPD ini.

“Adakah selama dua tahun sejak keputusan dibuat, kerajaan telah mula mengumpul data walaupun secara rintis, secara senyap-senyap tanpa memberitahu rakyat bahawa mereka sedang dipantau?,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Saiful menegaskan, walaupun Malaysia mempunyai Akta Perlindungan Data Peribadi, penguatkuasaannya masih lemah dan kerajaan juga tidak tertakluk kepada akta ini.

Lantaran itu, tanpa mekanisme pengawasan bebas dan berkredibiliti, tidak ada jaminan data yang dikumpulkan tidak akan disalah guna untuk tujuan pemantauan politik, penyekatan maklumat, atau pelanggaran hak asasi.

Beliau turut menolak penjelasan SKMM dan Fahmi bahawa utipan data ini akan membolehkan kerajaan membuat dasar dan perancangan dengan lebih baik, sebaliknya menyifatkan alasan ini jenaka besar.

“Kerajaan hari ini gagal bukan disebabkan tidak ada data penggunaan telefon dan internet rakyat.

“Tetapi kerajaan gagal ini adalah disebabkan tiada hala tuju, tiada kompetensi, tiada komitmen kepada reformasi, manakala pemimpin-pemimpin mereka pula sibuk mencaturkan ahli keluarga ke tampuk kuasa,” ujarnya sambal menambah seandainya diberikan data seluas langit pun kegagalan tak akan dapat diperbaiki.

Wan Saiful menambah, melihat kepada kerakusan pelbagai tindakan SKMM mahu menjadikan “Abang Besar” dalam dunia digital, dan sikap berat sebelah beliau menggesa sebuah jawatan kuasa bebas rentas parti ditubuhkan di Parlimen untuk memantau dan menilai semula kuasa pengawasan suruhanjaya tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast