Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin sah bergelar isteri dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup pada Ahad lalu.
KUALA LUMPUR – Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin sah bergelar isteri dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup semalam.

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bandar Utama itu yang memilih  jejaka pilihannya yang hanya mahu dikenali sebagai Joshua dalam suasana tertutup yang dihadiri keluarga terdekat dan beberapa sahabat rapat.

Menurut Jamaliah seperti laporan Sinar Harian, keputusan mengadakan majlis secara kecil-kecilan dibuat demi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak yang mahukan satu majlis yang lebih memfokuskan kepada hikmah dan keberkatan pernikahan itu sendiri.

“Alhamdulillah dengan izin-Nya, saya dan pasangan telah selamat melangsungkan pernikahan semalam. Saya mohon maaf sekiranya ada pihak terasa hati. Percayalah, ini keputusan yang dibuat dengan teliti dan penuh hormat kepada semua yang menyokong kami selama ini,” kata wakil rakyat DAP itu menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa tokoh politik terkenal termasuk Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang pernah menjadi ‘bosnya’ dan juga pernah membimbing suaminya ketika menjalani latihan industri.

“Buat masa ini, saya mohon doa semua agar Allah SWT memberkati perkahwinan ini dengan sakinah, mawaddah dan rahmah.

“Mohon doa semua agar kami dapat melayari bahtera rumah tangga ini dengan baik, berkekalan dan sentiasa diredai-Nya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast