Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika hadir melawat Editor Foto NSTP, Ikhwan Munir yang menghidapi sakit kanser pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kasih Hawana di Hospital Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 09 JUN 2025

PUTRAJAYA – Kerajaan Madani komited dalam menyantuni kebajikan petugas media diteruskan melalui inisiatif Tabung Kasih@Hawana dengan menyalurkan bantuan kepada Editor Foto New Straits Times (NST), Ikhwan Munir yang sedang berdepan ujian kesihatan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, beliau sempat menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada Ikhwan, 50, yang kini menjalani rawatan di Hospital Putrajaya selepas disahkan menghidap kanser usus pada Mei lepas.

“Ikhwan telah berkhidmat selama 29 tahun di NST sejak menyertai organisasi itu pada 1996.

“Kita telah menyampaikan sumbangan berupa sedikit wang tunai dan barang keperluan yang kita harap memberi sedikit semangat kepada beliau serta membantu dalam keadaan tidak boleh bekerja.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pasukan Media Prima yang sentiasa cakna kepada kebajikan kakitangan mereka.

“Insya-Allah pasukan daripada Bernama akan terus memantau dan melihat sekiranya kita perlu memberikan apa-apa sumbangan atau bantuan selepas ini kepada saudara Ikhwan, kita akan terus membantu,” katanya kepada pemberita di lobi Hospital Putrajaya, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam lawatan itu Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan antara inisiatif yang mencerminkan semangat Madani dalam mengangkat nilai ihsan dan keprihatinan, khususnya kepada pengamal media yang pernah menyumbang kepada masyarakat, namun kini diuji dengan cabaran hidup dan kesihatan.

Tabung ini dilancarkan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 dan digerakkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.

Fahmi juga berjaga, sejak tabung Hawana itu ditubuhkan sehingga kini, seramai 405 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat dan bantuan termasuk Ikhwan.

“Saya harap menjelang Majlis Kemuncak Hawana yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 14 Jun nanti kita akan dapat membantu lebih ramai pengamal media.

“Bahkan mereka yang merupakan penerima sumbangan sebelum ini, sekiranya ada yang perlu kita santuni dan perlu sampaikan bantuan tambahan, kita akan minta diteliti,” katanya.

Fahmi berkata lagi, Ikhwan mempunyai dua anak di mana salah seorang baru selesai menjalani latihan amali dan kini sedang menunggu keputusan UPU untuk sambung belajar, manakala seorang lagi baru berusia tujuh tahun.

“Isteri tidak bekerja, tapi kita lihat ada beberapa perkara kita boleh bantu, tapi anak sulung membantu yang bongsu, jarak mereka 16 tahun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast