MELAKA – “Ketar lutut saya bila masuk ke dalam bas yang berlumuran darah apabila melihat ada pelajar putus kaki, tangan meminta tolong malah ada mayat melekat seperti kusyen di pembahagi jalan yang menembusi bas.
“Belum pernah saya menyaksikan kejadian ngeri sampai ke tahap it menyebabkan saya terpaksa keluar semula dari bas,”.
Itu pengalaman diceritakan Mohd Ibtisyam Razali, 35, antara saksi awal yang tiba di lokasi nahas mengakibatkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Jeli-Gerik, berhampiran Tasik Banding, Perak awal pagi.
Menurutnya, ketika itu dia dalam perjalan pulang dari Pasir Mas, Kelantan ke tempat kerjanya di Pulau Pinang selepas menghabiskan cuti Hari Raya Aidiladha bersama isteri dan seorang anaknya.
“Seingat saya tiba di lokasi pada pukul sekitar 1.40 pagi dan terkejut apabila mendapati keadaan bas yang terbalik dan hancur di laluan berselekoh itu
“Selepas melihat ada kawan yang dikenali, saya memberanikan diri masuk ke dalam bas melalui bahagian belakang bas untuk membantu mangsa nahas,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurutnya, sebaik sabaik sahaja melangkah masuk, dia terkejut melihat keadaan bas yang dipenuhi darah selain beberapa penumpang putus kaki dan tangan.
“Ada seorang mangsa perempuan menjerit meminta tolong dalam keadaan tangannya yang putus namun saya tidak berani mendekatinya kerana terdapat kaki dan tangan yang bergelimpangan dalam bas.
“Saya sempat melihat satu mayat yang sudah dalam keadaan tidak sempurna seperti kusyen yang sedang melekat di pembahagi jalan sebelum segera keluar kerana keadaan terlalu ngeri,” katanya.
Menurutnya, ini adalah pengalaman pertama dia menyaksikan nahas seteruk itu dalam jumlah mangsa yang ramai.
“Akibat terlalu takut saya cuma dapat membantu mangsa lain yang tidak mengalami kecederaan serius yang berada di luar bas.
“Selepas pihak berkuasa tiba, saya pun beredar dari lokasi kira-kira pukul 3 pagi,” katanya. – MalaysiaGazette
















