KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan daripada empat individu susulan siasatan kes kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang maut terjatuh dari tingkat 30 sebuah pangsapuri di Jalan Jalil Impian 1 Bukit Jalil di sini pada Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Ridzuan Khalid berkata, antara yang diambil keterangan iaitu bapa mangsa pada Sabtu lepas.
“Polis akan mengambil keterangan pakar patalogi pada 13 Jun ini bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Jumaat lalu, ibu dan bapa saudara kepada kanak-kanak lelaki itu direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan dilaporkan berkata, kedua-dua mereka yang merupakan warga Indonesia berusia 27 dan 25 tahun direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ujarnya, bapa kanak-kanak itu adalah warga tempatan dan berkahwin dengan ibu mangsa yang merupakan warganegara Indonesia.
Tambah beliau, hasil bedah siasatan yang dilakukan, kanak-kanak itu maut selepas mengalami pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari tempat tinggi. – MalaysiaGazette
















