Trak membawa jenazah pelajar UPSI dari Hospital Gerik menuju ke Hospital Raja Permaisuri Bainun melalui Lenggong.

KUALA LUMPUR – Majoriti pelajar yang terlibat dalam kemalangan tragis melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik awal pagi tadi merupakan anak-anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha.

Perkara itu dimaklumkan, Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Kerajaan Terengganu, Datuk Satiful Bahri Mamat menerusi hantaran di Facebook.

Katanya, Kerajaan Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa tragedi tersebut termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.

“Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya.

“Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut manakala tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.

Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast