KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan insiden nahas jalan raya yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi sebagai tamparan hebat terhadap sistem keselamatan pengangkutan awam negara.
Ketua Portfolio Pengangkutan PN, Ir Khairil Nizam Khirudin menegaskan, tragedi seumpama itu tidak boleh dianggap sebagai insiden terpencil sebaliknya perlu dipandang serius.
Beliau menggesa Kerajaan Madani untuk mengambil tindakan tegas serta melaksanakan reformasi menyeluruh demi keselamatan rakyat.
“Nyawa rakyat bukan sekadar statistik. Ia adalah amanah. Kita tidak boleh tunggu tragedi seterusnya sebelum bertindak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi tujuan tersebut, Khairil Nizam mengemukakan beberapa cadangan penting bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.
Antara cadangannya, kerajaan digesa supaya memperkukuh penguatkuasaan peraturan pemakaian tali pinggang keledar seperti diwartakan dalam Kaedah-Kaedah Kereta Motor (Tali Pinggang Keledar) (Pindaan) 2019, khususnya ke atas semua bas yang dibina selepas 1 Januari 2020.
Katanya, cadangan turut dikemukakan agar pemasangan sistem berkenaan diperluaskan ke ayas semua bas sedia ada demi menjamin keselamatan maksimum penumpang.
Tambahnya, PN turut mencadangkan satu sistem senarai hitam antara agensi dibangunkan bagi mengekang pemandu yang mempunyai rekod kecuaian atau pelanggaran serius daripada terus beroperasi tanpa pemantauan ketat melebihi skop sedia ada sistem KEJARA oleh JPJ.
“Semua bas juga dicadangkan untuk dipasang sistem GPS/telematik dan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membolehkan data operasi seperti kelajuan dan lokasi dipantau secara masa nyata oleh pihak berkuasa.
“PN turut mencadangkan audit keselamatan berkala terhadap semua syarikat bas ekspres dan bas sewa khas pelajar termasuk aspek penyelenggaraan kenderaan dan tahap latihan pemandu.
“PN mendesak penubuhan satu suruhanjaya siasatan bebas bagi menyiasat tragedi nahas ini secara menyeluruh dan mengenal pasti kelemahan sistemik yang perlu diperbaiki, sebagaimana dilakukan dalam insiden kemalangan maut FRU di Teluk Intan sebelum ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Khairil Nizam menegaskan, PN akan membawa isu berkenaan ke Parlimen pada sesi terdekat bagi memastikan kerajaan tidak memandang ringan aspek keselamatan pengangkutan awam, terutamanya apabila ia melibatkan pelajar dan generasi muda negara.
“Penyelesaian jangka panjang harus mengambil pendekatan whole-of-government, tidak boleh hanya diletakkan di bahu Kementerian Pengangkutan semata-mata,” tegas beliau.
Katanya, tragedi yang meragut nyawa 15 pelajar UPSI hari ini telah mencetuskan kesedihan di seluruh negara dan mencabar kepercayaan umum terhadap keupayaan sistem pengangkutan awam dalam melindungi keselamatan penumpang terutamanya golongan pelajar. — MalaysiaGazette
















