MUAR – Seorang pemuda yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas habis kerja maut dalam kemalangan di Jalan Parit Unas, Jalan Temenggung Ahmad di sini hari ini.
Kejadian pasa pukul pukul 7.35 pagi itu mengorbankan mangsa, Muhammad Aidil Rahman, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, semasa kejadian, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumahnya dari arah Bandar Muar ke Parit Jawa.
“Mangsa merupakan seorang pekerja swasta dan beralamat di Taman Industri Sri Sulong, Parit Sulong, Batu Pahat.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, mangsa dikatakan hilang kawalan lalu merempuh tembok batu dan tiang lampu yang berada di kiri bahu jalan,” katanya dalam kenyataan.
Akibat pelanggaran itu katanya, mangsa kemudian tercampak sebelum melanggar papan tanda nama jalan dan terjatuh ke dalam parit.
Katanya, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum mayat dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan II Mohd Fettry Mahat berkata, seramai 10 anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit berada dalam parit berkedalaman 2 meter. Pihak Bomba membantu mengeluarkan mayat dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pukul 9.33 pagi,” katanya.- MalaysiaGazette
















