Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan yang memberi kesan kepada ribuan kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) yang majoritinya rakyat tempatan harus dilakukan dengan penuh hikmah, keadilan dan ketelusan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, proses itu kena dilaksanakan secara telus dan inklusif dengan memastikan suara pekerja didengari dan kebajikan mereka diberikan keutamaan.

“Sekiranya pengurangan ini tidak dapat dielakkan, Petronas harus menyediakan pelan mitigasi yang adil termasuk program penempatan semula, latihan semula dan pampasan yang bersesuaian,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Zulfadli Amiruddin

Sebelum ini, media melaporkan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pihaknya mengurangkan 10 peratus pekerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.

Tengku Muhammad Taufik berkata, langkah itu susulan keadaan keseluruhan industri minyak dan gas tidak berapa baik pada masa ini.

Zulfadli juga menyarankan agar kerajaan khususnya Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia memantau rapi proses ini agar tidak wujud sebarang ketidakadilan kepada tenaga kerja tempatan.

“Pendekatan yang berhemah ini penting bagi mengekalkan keyakinan rakyat terhadap syarikat milik negara dan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat.

“Sebagai sayap parti yang sentiasa memperjuangkan suara anak muda dan pekerja, kami akan terus mengikuti perkembangan ini secara dekat.

“Kami percaya, antara kepentingan ekonomi dan tanggungjawab sosial sebuah syarikat nasional seperti Petronas pasti mampu memilih jalan tengah yang terbaik untuk negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast