Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa pihak-pihak tertentu menghentikan tekanan terhadap orang awam yang memberikan pandangan peribadi berhubung perjalanan dan keputusan pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berpendirian, tindakan tersebut merupakan kaedah berbentuk intimidasi dalam usaha menghalang masyarakat mengutarakan perbezaan pendapat berkaitan pemilihan itu.

“Kemungkinan wujud watak-watak tertentu yang berselindung di belakang nama-nama menteri yang memberi arahan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menekan orang awam, hanya kerana pandangan mereka mengenai pemilihan PKR 2025 tidak sealiran dengan pandangan watak-watak ini.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Datuk Fahmi Fadzil sebagai Menteri Komunikasi tidak memberikan arahan agar orang awam seperti ini dikenakan tindakan,” ujar beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi Facebook, hari ini.

Pada pemilihan 23 Mei lalu, Rafizi kalah kepada Nurul Izzah Anwar yang berjaya merampas jawatan kedua parti itu dengan meraih 9,803 undi mengalahkan Ahli Parlimen Pandan yang memperoleh 3,866 undi.

Dalam kenyataan itu, Rafizi berkata, sejak seminggu lalu, beliau menerima aduan orang awam yang telah diambil tindakan yang berbeza-beza antaranya:

i. Aduan dari SKMM kepada platform X bahawa kandungan telah melanggar undang-undang Malaysia;

ii. Pegawai SKMM dan pegawai polis mengunjungi Orang Kena Adu (OKA) dengan alasan ingin berjumpa, tanpa sebarang dokumen rasmi;

iii. Pegawai SKMM mengeluarkan notis kepada OKA untuk siasatan; dan/atau

iv. Telefon pintar dan kad SIM OKA dirampas untuk siasatan.

Bagaimanapun, Rafizi berpendirian, kandungan di platform X yang disiasat selalunya merupakan pandangan peribadi rakyat biasa mengenai perjalanan atau keputusan pemilihan PKR 2025 yang tidak melanggar undang-undang.

Dalam kenyataan itu, Rafizi mendedahkan aduan yang diterima daripada salah seorang individu yang dipanggil SKMM berhubung pandangannya di platform X.

Pemimpin politik itu turut mengemukakan laporan polis oleh isteri lelaki berkenaan yang mendakwa diganggu pegawai SKMM dan polis, serta notis siasatan SKMM dan senarai rampasan oleh pihak polis berhubung satu kandungan yang dibuatnya menyentuh pemilihan PKR.

Ujar Rafizi, terdapat lebih 15 akaun X yang turut menerima aduan ekoran kandungan yang dibuat mereka.

“Saya telah pun berbincang dengan peguam-peguam sukarela yang akan mewakili orang awam yang dikenakan intimidasi seperti ini.

“Jika ada pelanggaran peraturan atau undang-undang, orang awam yang menjadi mangsa intimidasi seperti ini akan dinasihati untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Saya menasihati pimpinan politik yang diberi amanah untuk mentadbir kementerian masing-masing supaya tidak mencampur aduk pandangan politik dengan urusan rasmi kerajaan,” ujarnya.

Menurut beliau, jika wujud perbezaan pendapat mengenai perjalanan dan keputusan pemilihan PKR 2025 yang dilihat tidak sealiran dengan kepimpinan Kerajaan Persekutuan, ia adalah satu cabaran yang wajar ditangani dengan berhemah.

Ujarnya, sebarang bentuk tekanan atau intimidasi akan menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa pentadbiran sekarang cepat menggunakan kuasa dan tidak mempertahankan hak rakyat yang berbeza pandangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast