Shui Ping menunjukkan gambar anaknya yang melarikan diri sejak dua bulan lalu, selepas sidang akhbar di Kawasan Perindustrian Kota Masai, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja, 15 tahun dilaporkan hilang sejak dua bulan lalu selepas berkenalan dengan seorang pemuda.

Perkenalan itu bermula selepas lelaki itu  datang untuk membaiki kereta rosak milik datuk kepada pelajar tersebut di Taman Murni, Batu Pahat, awal tahun ini.

Ibu mangsa, Soh Shui Ping, 35, berkata, suspek kemudian bertukar nombor telefon dengan anaknya itu yang berusia 15 tahun iaitu anak sulung daripada empat beradik.

“Masalah kami sekeluarga bermula apabila kereta ayah saya rosak. Ayah saya diberitahu oleh rakannya mengenai seorang lelaki yang boleh membaiki kereta walaupun dia bukan mekanik.

“Lelaki itu datang ke rumah keluarga kami dan di situlah dia bertemu dengan anak saya. Tidak lama selepas itu, saya dapati dia telah mendapatkan nombor telefon anak saya dan mereka mula berhubung,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pekerja kantin sekolah berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media anjuran Ketua Biro Aduan Awam Sayap Bersekutu Bersatu Johor, Lim Thow Siang di Kawasan Perindustrian Kota Masai di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Shui Ping berkata, selepas perkenalan itu tingkah laku anaknya berubah dengan ketara sehingga sanggup ponteng sekolah semata-mata mahu mengikuti lelaki berkenaan.

“Pada 23 April, guru sekolah anak saya menghubungi dan memaklumkan dia telah keluar dari sekolah dan dijemput oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Apabila dia pulang ke rumah, saya segera membawanya ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

“Syukurlah keputusan pemeriksaan kesihatan menunjukkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, hubungan kami mulai renggang selepas kejadian itu sehingga pada 28 April, dia melarikan diri dari rumah,” katanya.

Dia telah cuba menghubungi dan menghantar pesanan kepada anaknya, namun sehingga kini tidak menerima sebarang maklum balas mahupun panggilan dijawab.

“Saya juga telah berjumpa dengan rakan-rakan anak saya, tetapi tiada siapa tahu di mana dia berada,” katanya yang merupakan seorang ibu tunggal.

Risau dengan keadaan anaknya, dia membuat laporan polis dan memohon bantuan Thow Siang untuk mengesan anaknya itu selepas hampir dua bulan menghilangkan diri.

Sementara itu, Thow Siang menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keberadaan remaja perempuan itu agar segera menghubungi pihak polis.

“Remaja perempuan itu masih seorang kanak-kanak yang belum mampu berfikir secara matang dan mudah dipengaruhi atau dimanipulasi oleh orang lain.

“Saya merayu kepada sesiapa yang tahu di mana dia berada supaya memastikan dia dapat pulang dengan selamat ke pangkuan ibunya dan keluarga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Beliau memaklumkan usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan remaja yang hilang itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast