KUALA LUMPUR – King crab, ikan salmon, ikan kod, cendawan truffle dan strawberi import adalah makanan yang akan dinaikkan kadar cukai jualan sebanyak lima peratus mulai 1 Julai ini.
Selain itu, barangan yang dikenakan cukai kadar tersebut adalah essential oil atau minyak pati, sutera dan jentera industri.
Kementerian Kewangan menerusi kenyataan hari ini turut menyenaraikan sisa skrap tungsten, basikal lumba dan lukisan tangan antik dikenakan cukai jualan pada kadar 10 peratus.
Jelas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ia susulan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang bertujuan menambah hasil dan meluaskan asas percukaian.
“Semakan semula SST telah melalui proses libat urus bersama pihak berkepentingan, khususnya persatuan industri dan ejen percukaian.
“Penyediaan perundangan turut mengambil kira maklum balas serta input industri bagi memastikan majoriti rakyat tidak terjejas dan kesan terhadap pihak industri dapat diminimumkan,” katanya.
Menurut beliau, hasil daripada perluasan skop SST ini akan membolehkan penambahbaikan dalam perkhidmatan awam diaksanakan khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Kerajaan komited untuk meneruskan pembaharuan di bawah kerangka ekonomi Madani. Bagi memastikan rakyat terbanyak tidak terkesan daripada semakan semula SST, Kerajaan Madani mengambil pendekatan yang bersasar untuk memastikan barangan dan perkhidmatan asas tidak dikenakan cukai.
“Selain itu, pelbagai kemudahan turut disediakan bagi mengurangkan kesan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),”tambahnya.
Dalam pada itu, skop cukai perkhidmatan (CP) sedia ada turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Perkhidmatan sewaan atau pajakan CP akan dikenakan pada kadar lapan peratus bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang RM500,000 jumlah pendapatan sewaan atau pajakan.
Kemudahan pengecualian CP diberikan kepada perkhidmatan sewaan atau pajakan ke atas bangunan kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan dan aset ketara di luar Malaysia.
“Penyewa yang merupakan PMKS dengan jualan tahunan kurang RM500,000; business-to-business (B2B) dan pelepasan kumpulan (group relief) bagi mengelakkan kesan cukai berganda dan non-reviewable contract diberikan pengecualian 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa,” tambahnya.
CP dengan kadar enam peratus pula dikenakan bagi syarikat penyedia perkhidmatan yang mencapai nilai ambang iaitu RM1.5 juta termasuk perkhidmatan jagaan kesihatan swasta, amalan
tradisional dan komplimentari dan kesihatan bersekutu kepada bukan warganegara.
Manakala CP 8 peratus kepada perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen.
CP kadar lapan peratus juga dikenakan untuk perkhidmatan kecantikan termasuk rawatan muka dan dandanan rambut, cukai perkhidmatan akan dikenakan pada kadar 8.0 peratus ke atas nilai perkhidmatan bercukai mencapai RM500,000 dalam tempoh 12 bulan.
Dalam pada itu, sebagai tambahan, perkhidmatan kepada orang kelainan upaya (OKU) warga negara Malaysia dan pengajian tinggi dikecualikan daripada cukai.- MalaysiaGazette
















