KUALA LUMPUR – Pengurusan syarikat pengangkutan awam serta pemandu bas perlu melaksanakan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) bagi menjamin keselamatan bukan sahaja untuk pekerja tetapi juga kepada penumpang.

Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dalam kenyataan berkata, pengurusan keselamatan dalam pengangkutan awam yang berfungsi sebagai entiti perniagaan adalah tertakluk di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022), di mana pengangkutan tersebut dikategorikan sebagai tempat kerja.

“Sebagai usaha meningkatkan keselamatan dalam sektor ini, NIOSH menyatakan kesediaan menawarkan kepakaran melalui latihan, audit keselamatan kenderaan, penilaian risiko serta program kesedaran KKP kepada pengendali perkhidmatan pengangkutan awam.

“Usaha ini juga selari dengan aspirasi Pelan Induk KKP 2021-2025 (OSHMP25) yang bertujuan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih selamat dan sihat kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata agensi itu.

NIOSH turut menyeru semua pihak dalam sektor pengangkutan awam agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan, bukan sahaja kepada pekerja, malah kepada penumpang yang menjadi tanggungjawab bersama semua pihak terlibat.

Terdahulu, dalam kenyataan sama, NIOSH merakamkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi nahas bas sewa khas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak awal pagi tadi.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang bertanggungjawab dalam KKP, NIOSH menyatakan keprihatinan terhadap tahap keselamatan pelajar dan orang awam ketika menggunakan pengangkutan awam darat, termasuk bas ekspres dan sewa khas bagi tujuan perjalanan pelajar.

NIOSH menyatakan sokongan terhadap siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian, selain merangka langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan tragedi seumpama itu berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast