MUAR – Polis menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan 20 individu dalam kejadian depan sebuah surau di Jalan Sakeh, Taman Sakeh di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam pada pukul 12.45 tengah malam tadi.
“Pihak polis berjaya menahan empat suspek manakala empat yang lain sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan.
“Suspek yang selebihnya masih bebas dan sedang diburu pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 148, 326 dan 307 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata sehingga menyebabkan parah.
Menurutnya, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut serta usaha mengenal pasti semua individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.
“Proses mengesan dan menangkap suspek lain sedang dilaksanakan secara berterusan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Erwine Pedaron 013-7609454 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Raiz Mukhliz meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dan rasa tidak tenteram dalam kalangan masyarakat.- MalaysiaGazette
















