Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU – Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Lassim Burhan didakwa tidak memahami isu sebenar permohonan penduduk tentang status Tanah Rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee, di sini.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan mereka adalah supaya status TRM ditukar daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Johor itu menjelaskan, isu yang dibangkitkan adalah berkaitan jenis pegangan hak milik di atas tanah sama ada pajakan atau kekal.

“Isu ini tiada kaitan dengan usaha Kerajaan Johor untuk memajukan Kampung Melayu Majidee sebagai Kampung Warisan dan tarikan pelancongan sebagaimana yg dinyatakan dalam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandaraya Johor Bahru 2030.

“Saya tidak faham kenapa cadangan menukar TRM hak milik pajakan kepada TRM hak milik kekal dianggap sebagai dangkal dan tidak berpijak pada realiti sejarah dan berbahaya serta boleh menghakis hak milik tanah orang Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Pada 20 April lalu, lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee dilaporkan masih menanti jawapan berhubung status permohonan TRM hak milik kekal, yang dimohon kepada kerajaan negeri, sejak tahun lalu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam), Abdul Rahim Md Shariff dilaporkan berkata, ini berikutan status tanah Rizab Melayu Kampung Melayu Majidee ketika ini masih berstatus TRM Pajakan Negeri 99 tahun.

Katanya, status TRM Pajakan Negeri 99 tahun kampung berkenaan bakal berakhir pada 2053 atau 28 tahun lagi dengan permohonan penukaran status sudah dihantar kepada kerajaan negeri sejak 8 September 2024.

Dzulkefly kemudian mencadangkan kerajaan Johor mempertimbangkan permintaan penduduk Kampung Melayu Majidee yang mahu menukar status tanah TRM daripada pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal, sebagaimana dilaksanakan oleh kerajaan Negeri Sembilan sejak 2019.

Dzulkefly dilaporkan berkata, pendekatan progresif yang diambil Negeri Sembilan telah terbukti memberi manfaat bersama kepada pemilik tanah dan kerajaan negeri.

Susulan itu, Lassim menyifatkan cadangan tersebut sebagai dangkal dan satu langkah bahaya yang akan membuka pintu kepada penghakisan pemilikan Melayu secara halus atas nama kebebasan pasaran tetapi akhirnya merugikan generasi akan datang.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, sebenarnya menukar TRM kepada hak milik kekal akan dapat menjamin pemilikan sepanjang hayat TRM serta jaminan pemilikan warisan kepada generasi akan datang buat selama-lamanya, bukan sebaliknya hak milk TRM semakin terhakis.

Tindakan itu juga katanya, selari dengan hasrat Wasiat Raja-Raja Melayu 1957 yang menyasarkan 50 peratus daripada tanah sesebuah negeri adalah TRM dan di Johor sekarang hanya 30 peratus daripada tanahnya adalah berstatus TRM.

Menurutnya, cadangan kerajaan Johor untuk membangunkan Kampung Melayu Majidee sebagai Kampung Warisan bagi tarikan pelancong satu usaha baik, malah penduduk dan Perkam tidak pernah menentang Kampung Melayu Majidee dibangunkan.

Namun katanya, mesti dengan syarat pemilik tanah asal tidak dipinggirkan dan dilibatkan dalam program atau projek membangunkan Kampung Melayu Majidee nanti.

Beliau mendakwa, peminggiran penduduk Kampung Melayu Majidee boleh berlaku sekiranya kerajaan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 atau menunggu tempoh baki pajakan sedia ada tamat dahulu.

“Ketua UMNO Bahagian Sri Gading juga perlu tahu apa sebenarnya kandungan RKK Bandaraya JB 2030. RKK mengariskan 23 projek (bernilai RM149.02 juta) atau pelan tindakan pembangunan untuk infrastruktur awam atau khusus sahaja.

“Saya rasa sudah sampai masanya untuk kerajaan mengemukakan cadangan mekanisma pembangunan semula ke atas lot-lot milik individu di Kampung Melayu Majidee,” katanya.

Lassim katanya, ada membangkitkan isu pemberian hak milik kekal 999 tahun kepada kampung baharu di Perak pada 2018.

“Saya rasa kenyataan rasmi Menteri Besar Perak pada 13 Ogos 2018 telah memberikan jawapan yang jelas bahawa kerajaan Perak tidak boleh memberikan status hak milik 999 tahun atau hakmilik kekal kepada kampung baru kerana ianya bercanggah dengan keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) pada 25 April 1997 yang menetapkan tempoh pegangan pajakan bagi kampung baru sekurang-kurangnya 60 tahun dan tidak melebihi 99 tahun.

“Kepada Ketua UMNO Bahagian Sri Gading, siapa sebenarnya bermain politik dengan isu TRM? Penduduk Kampung Melayu Majidee memerlukan jawaban tuntas daripada kerajaan terhadap isu utama yang dibangkitkan, bukannya jawapan versi politik,” ujar Dzulkefly.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast