PUTRAJAYA – Perbicaraan kes saman bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan serangan seksual yang dijadual didengar Isnin depan, ditangguhkan sementara oleh Mahkamah Rayuan hingga bulan depan.
Perbicaraan kes itu pada asalnya ditetapkan pendengaran di Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain selama tujuh hari iaitu pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 Jun ini.
Dengan keputusan itu, semua prosiding berkaitan termasuk perbicaraan, digantung sementara menunggu pelupusan penuh permohonan Perdana Menteri untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadual didengar pada 21 Julai ini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Supang Lian memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan penangguhan sementara (ad-interim) yang dikemukakan Perdana Menteri.
Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Supang berkata, Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memberi panel itu kuasa membuat perintah ad-interim bagi memelihara integriti permohonan penangguhan yang dikemukakan Anwar.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Permohonan ad-interim itu dikemukakan di hadapan panel berkenaan selepas Mahkamah Tinggi pada 4 Jun lalu menolak permohonan lisan peguam Anwar untuk menangguhkan perbicaraan pada 16 Jun ini.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff memberitahu pihak media pada hari yang sama, anak guamnya dijadual memberi keterangan sebagai saksi pertama kes saman tersebut.
Pada prosiding hari ini, peguam Alan Wong Teck Wei yang mewakili Anwar berhujah, permohonan penangguhan ad-interim dikemukakan ekoran keputusan Mahkamah Tinggi menolak rujukan undang-undang berkaitan lapan persoalan ke Mahkamah Persekutuan yang dikemukakan Perdana Menteri.
Hujah beliau, permohonan tersebut (ad-interim) adalah berniat baik (bona fide) kerana lapan persoalan itu melibatkan isu yang belum pernah dibangkitkan dan dimuktamadkan oleh mahkamah tertinggi negara.
“Jika perbicaraan diteruskan, dikhuatiri bahawa apa-apa permohonan atau rayuan Perdana Menteri di Mahkamah Rayuan kelak akan menjadi tidak bernilai (nugatory) dan akademik,” hujah Alan.
Ujar peguam, penangguhan perbicaraan tidak akan memprejudiskan Muhammed Yusoff, berbanding prejudis terhadap Anwar tidak akan dapat `dibayar’ jika perbicaraan diteruskan tanpa rayuan beliau diputuskan terlebih dahulu.
Hujah Alan, jika perbicaraan didengar, perhatian Anwar selaku Perdana Menteri akan berubah arah daripada pentadbiran kerajaan kepada perbicaraan bukan hanya untuk tempoh tujuh hari, malah sehingga prosiding tamat.
Ujar beliau, perkembangan itu dikhuatiri akan memberi kesan kepada keyakinan awam terhadap beliau selaku Perdana Menteri dan pentadbiran negara.
Sementara itu, Muhammad Rafique membantah permohonan ad-interim atas alasan Perdana Menteri terlebih dahulu mengetahui tarikh perbicaraan seperti yang telah ditetapkan pada prosiding terdahulu pada 6 Jun tahun lalu.
Oleh yang demikian, beliau berhujah, Anwar mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat persediaan bagi perbicaraan itu kerana tarikh telah ditetapkan setahun lalu.
Hujahnya, tiada keadaan istimewa yang mewajarkan penangguhan diberikan dan mahkamah perlu mempertimbang pada peringkat ini bahawa rayuan Anwar tidak mempunyai prospek untuk dibenarkan.
Anwar memohon perbicaraan kes saman oleh Muhammed Yusoff ditangguhkan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonnnya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 4 Jun lalu, Hakim Roz Mawar menolak permohonan itu atas alasan lapan persoalan itu adalah spekulatif dan tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman.
Bulan lalu, Anwar memohon mahkamah tertinggi negara memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya.
Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022. – MalaysiaGazette
















