KUALA LUMPUR – Bekas personaliti televisyen, Norjuma Habib Mohamed didenda RM4,800 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah melakukan khianat dengan merosakkan palang dan kamera litar tertutup (CCTV) sebuah kondominium, dua tahun lalu.
Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Norjuma, 45, yang juga seorang usahawan selepas mengubah pengakuannya kepada bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah turut memerintahkan Norjuma dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda. Denda itu dijelaskannya.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Norjuma didakwa melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan serta CCTV milik sebuah kondominium, di sini, pukul 7.44 dan 7.45 malam pada 28 Julai 2023, yang menyebabkan kerugian keseluruhan RM4,700.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Peguam Faiz Kamal Jaafar yang mewakili Norjuma memohon supaya anak guamnya dikenakan hukuman denda dengan alasan wanita itu tidak bekerja selain menyesal dengan perbuatannya.
“Anak guam saya sedang menyambung belajar di institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan. Dia juga ditanggung oleh ayahnya yang merupakan pesara kerajaan,” kata peguam.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Amritpreet Kaur Radhawa memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kerugian yang dialami kondominium berkenaan.
Pada Mei lalu, Norjuma didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang wanita, empat tahun lalu.
Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norjuma mengubah pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan. – MalaysiaGazette.
















