KUALA LUMPUR – Cara pelaksanaan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar yang berkuat kuasa 1 Julai ini telah menimbulkan kebimbangan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sedang menghadapi pelbagai cabaran.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, PMKS masih mengharungi persekitaran operasi yang mencabar, termasuk
kos input yang tinggi, perbelanjaan pengguna yang semakin merosot, dan permintaan luar yang semakin lemah.
Tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat yang diberhentikan sementar akan diteruskan pada 9 Julai, dan ini akan melemahkan daya saing eksport Malaysia terutamanya di kalangan PMKS.
Menurutnya, dalam keadaan ini, peluasan SST tanpa pengecualian yang mencukupi atau peningkatan ambang kelayakan bagi PMKS, akan memburukkan lagi beban kos ke atas perniagaan.
“Kesan ini bukan sahaja melibatkan kos bahan mentah, malah turut meliputi kos sewa dan perkhidmatan antara perniagaan (B2B) yang kini akan tertakluk di bawah skop SST yang diperluas.
Kenaikan ini berkemungkinan besar akan diserap oleh pengguna, sekaligus meningkatkan kos sara hidup,” katanya dalam kenyataan di sini.
Oleh itu, Samenta menggesa kerajaan untuk segera mempertimbangkan semula ambang kelayakan bagi PMKS demi mengurangkan impak terhadap keuntungan PMKS dan
harga kepada pengguna.
William meminta agar semua perusahaan mikro dan kecil seperti yang ditakrifkan oleh SME Corp. dikecualikan, atau sekurang-kurangnya ambang perolehan tahunan dinaikkan kepada RM2 juta daripada RM500,000 pada masa ini, agar hanya perniagaan sederhana dan besar yang tertakluk kepada skop peluasan ini.
Pada masa sama, Samenta juga menggesa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk segera mengeluarkan garis panduan khusus mengikut sektor bagi membantu PMKS
yang terlibat memahami kewajipan mereka di bawah skop yang diperluaskan, tanpa perlu mendapatkan khidmat ejen cukai.
Tegas beliau, tanpa panduan yang lebih jelas, ramai PMKS berisiko melakukan ketidakpatuhan secara tidak sengaja walaupun tempoh penguatkuasaan ditangguhkan sehingga akhir 2025.
“JKDM juga perlu memberikan penjelasan sama ada, dalam tempoh peralihan ini, perniagaan dibenarkan mengenakan SST berdasarkan tarikh invois dan bukan tarikh kutipan bayaran,” ujarnya.
Lagipun, ramai perniagaan telah pun mengeluarkan invois dalam bulan-bulan terdahulu, dan ketidakpastian ini boleh menimbulkan kekeliruan tentang liabiliti cukai di bawah rejim SST Baharu ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Samenta menyokong pembangunan rangka kerja cukai yang adil, progresif dan telus yang dapat meluaskan sumber percukaian tanpa mengabaikan aset keusahawanan negara bagaimanapun, perkara ini mesti dilaksanakan secara berperingkat, dengan rundingan yang tulen bersama pihak berkepentingan dan sejajar dengan realiti ekonomi semasa.
“Walaupun Samenta telah diberikan taklimat mengenai peluasan SST ini, ia tidak boleh dianggap sebagai satu bentuk rundingan sekiranya ia disampaikan sebagai keputusan yang telah dimuktamadkan (fait accompli).
“Memandangkan ketidaktentuan global dan kelemahan ekonomi domestik –faktor yang tidak begitu ketara semasa Belanjawan 2025 dibentangkan, kami percaya bahawa peningkatan ambang pengecualian bagi PMKS adalah langkahyang wajar dan berhemah dari segi ekonomi,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette















