Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar Bersama pengurusan tertinggi Tabung Haji.

MAKKAH -Tabung Haji (TH) sekali lagi mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa apabila dinobatkan sebagai penerima ‘Diamond Award’ – anugerah tertinggi dalam Majlis Anugerah Labaytum 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Pengiktirafan itu dianugerah berikutan prestasi luar biasa TH dalam mengendalikan operasi Haji musim 1446H/2025M, menjadikan Malaysia antara negara terbaik dalam pengurusan hal ehwal jemaah Haji di dunia Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu kebanggaan negara.

“Kami amat berbangga kerana dapat meletakkan Malaysia sebagai penanda aras kecemerlangan pengurusan haji di persada dunia. Tahniah kepada seluruh pasukan pengurusan dan warga TH atas dedikasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menyifatkan penghargaan tersebut sebagai bukti komitmen dan inovasi berterusan yang dibawa oleh TH demi kesejahteraan jemaah Malaysia.

“Kami sangat berbesar hati menerima anugerah berprestij ini daripada Kerajaan Arab Saudi. Ia adalah bukti kesungguhan kami mempertingkatkan mutu perkhidmatan dan mengekalkan amalan terbaik setiap tahun,” katanya.

‘Diamond Award’ merupakan satu-satunya anugerah eksklusif dan paling berprestij dalam keseluruhan kategori Labaytum.

Ia dianugerahkan berdasarkan penilaian komprehensif terhadap pelbagai aspek seperti kualiti operasi, penggunaan teknologi, pengurusan kesihatan, logistik, bimbingan ibadah, dan tahap kepuasan jemaah yang luar biasa iaitu mencecah lebih 95 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Mustakim Mohamad, turut menegaskan bahawa kejayaan ini lahir daripada komitmen jitu dan kerjasama erat pelbagai pihak:

“Kami memegang amanah besar dalam menjaga kebajikan jemaah Haji Malaysia. Kejayaan ini hasil usaha berterusan dan sinergi kukuh bersama Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi serta agensi-agensi berkaitan,” katanya.

Untuk rekod, TH sebelum ini pernah memenangi beberapa anugerah dalam Majlis Labaytum – termasuk Anugerah Perkhidmatan Terbaik untuk dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024. Namun, tahun 2025 menyaksikan TH melonjak ke tahap tertinggi dengan pengiktirafan ‘Diamond Award’, satu pencapaian yang hanya diperoleh oleh institusi paling cemerlang dari seluruh dunia.

Anugerah ini disampaikan semasa Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Haji dan Umrah yang berlangsung di Makkah – memperkukuh lagi reputasi TH sebagai model pengurusan haji terbaik yang menjadi kebanggaan umat Islam di Malaysia. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast