NIBONG TEBAL – Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan bersubahat dengan mengarahkan tiga lelaki tempatan membaling cat di hadapan rumah seorang wanita pada April lalu.
Tertuduh, Tan Jun Yan, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Mengikut pertuduhan bapa kepada tiga cahaya mata itu didakwa telah mengarahkan Ng Khang Fu, Tan Wei Pin dan Chow Wai Long melakukan khianat dengan cara membaling cat dan telah bersubahat menyebabkan kerugian kepada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi di sebuah kediaman di Taman Merbah Indah di sini, pada 25 April lalu.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri menawarkan jaminan RM6,000 namun peguam R. Thevan yang mewakili tertuduh mohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal keluarga serta perlu menyara tiga orang anak berusia sebulan hingga lapan tahun dan ibu bapanya.
“Anak guam saya menjalankan perniagaan penjualan telefon bimbit dan dia telah direman selama tiga hari sejak 12 Mei lalu dan saya mohon pertimbangan mahkamah dalam rayuan ini,” katanya.
Majistret kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu di mahkamah sama, Khang Fu, 42; Wei Pin, 34 dan Wai Long, 37, masing-masing dibenarkan ikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan membaling cat ke atas kediaman mangsa dalam pertuduhan Tan Jun Yan hingga menyebabkan mangsa kerugian RM50.
Pendakwaan terhadap mereka dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Norafifah dan kesemua mereka diwakili peguam, Lim Sheng Zhe.
Kedua-dua kes tersebut akan disebut semula pada 18 Julai depan. – MalaysiaGazette















