Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad, Ariffin Sabirin bercakap pada sidang media berhubung kes viral hibah takaful terbatal di Kelab Golf Negara Subang, Subang Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 11 JUN 2025

SUBANG – Masyarakat perlu faham pelaksanaan hibah untuk harta dan pengurusan harta pusaka mengikut undang-undang sivil perlu dibuat secara bersama bagi mengelak timbul masalah pada masa depan.

Presiden Kumpulan dan Ke­tua Pegawai Eksekutif,  Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah), Ariffin Sabirin berkata, ia kerana kedua-dua proses itu saling lengkap-melengkapi selepas selesai proses pengurusan harta pusaka di mana hak waris-waris telah pun menjadi sah.

Menurutnya, isu viral hibah takaful yang terbatal baru-baru ini merupakan isu teknikal proses perundangan dan ia secara spesifik melibatkan hibah bagi manfaat takaful sahaja.

Jelas beliau, ia terkait dengan isu keabsahan Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

“Saya  percaya akan ada proses perundangan lanjutan daripada kes ini dan masyarakat perlu memberi ruang proses itu berjalan sebelum membuat sebarang kesimpulan akhir.

“Kes ini tidak melibatkan Wasiyyah namun bagi urusan hibah harta-harta yang dibuat oleh Wasiyyah, kami masih mengekalkan modus operandi yang sedia ada namun inisiatif penambahbaikan sentiasa dibuat.

“Masyarakat tidak perlu bimbang kerana Wasiyyah mempunyai rekod perkhidmatan hibah yang telah terbukti,” katanya pada sidang media di sini ini.

Sidang media itu diadakan sebagai menjelaskan isu yang kecoh di media sosial baru-baru ini mengenai satu kes hibah takaful bernilai RM1 juta yang dicabar di Mahkamah Tinggi Sivil.

Kes bermula apabila seorang peserta takaful yang memiliki polisi bernilai RM1 juta meninggal dunia dan di dalam polisi berkenaan dan menamakan isterinya sebagai penerima hibah bersyarat (Hibah Nomination).

Selepas tuntutan hibah diluluskan syarikat takaful dan balu arwah menerima pampasan sebagaimana yang telah dinyatakan dalam penamaan hibah, pihak keluarga arwah tidak berpuas hati lalu membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Sivil untuk membatalkannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Sivil terbabit memutuskan hibah tersebut tidak sah daripada sudut undang-undang sivil dan wang pampasan itu perlu diuruskan mengikut hukum faraid.

Kes itu secara tidak langsung membuka mata ramai pihak tentang realiti sebenar hibah takaful.

Mengulas lanjut, Ariffin menjangkakan selepas isu berkenaan, masyarakat mula sedar kepentingan untuk mereka bukan sahaja membuat hibah malah memastikan urusan pentadbiran harta pusaka yang melibatkan Pejabat Pusaka Kecil dan Mahkamah Tinggi Sivil dilengkapkan.

Namun, katanya, selaras dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia di bawah perkara 121(1A) yang memperuntukkan bidang kuasa eksklusif kepada mahkamah syariah bagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum syarak, semua urusan pengesahan hibah bagi harta-harta dilaksanakan Wasiyyah di mahkamah berkenaan.

Menurut beliau, peruntukan itu memberi kuasa kepada mahkamah syariah untuk menentukan keabsahan sesuatu hibah.

“Sebagai syarikat amanah patuh syariah yang berpengalaman, kami faham sepenuhnya bahawa terdapat bidang kuasa eksklusif di antara kedua-dua mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

“Teknikaliti urusan ini memang sukar difahami oleh masyarakat kerana ia melibatkan proses di kedua-dua set undang-undang. Atas sebab itu kami memperkenalkan perkhidmatan hibah komprehensif dan Al-Wasitah iaitu perkhidmatan pengesahan hibah dan pentadbiran harta pusaka secara percuma untuk waris pelanggan kami di mana semua urusan dibuat sepenuhnya oleh pihak kami,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast