KUALA LUMPUR – Jetstar Asia akan menghentikan operasi mulai 31 Julai ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula strategik, kata syarikat penerbangan yang berpangkalan di Singapura itu.

Menerusi kenyatan hari ini, Jetstar Asia berkata, lebih 500 pekerja akan terjejas oleh penutupan operasinya.

Namun, syarikat penerbangan itu memberi jaminan akan menawarkan pelbagai sokongan, termasuk faedah pemberhentian kerja dan peluang pekerjaan.

Jetstar Asia berkata, ia akan terus mengendalikan penerbangan untuk tujuh minggu akan datang dengan jadual yang semakin berkurangan merentasi rangkaian antarabangsa jarak dekatnya keluar dari Singapura, sebelum hari terakhir operasinya pada 31 Julai 2025.

Syarikat induknya, Qantas Group berkata, hanya 16 laluan intra-Asia akan terjejas disebabkan penutupan Jetstar Asia, tetapi tiada sebarang perubahan kepada perkhidmatan Jetstar Airways (JQ) dan Jetstar Japan (GK) ke Asia.

“Semua perkhidmatan antarabangsa Jetstar Airways di dalam dan luar Australia kekal tidak berubah,” kata Qantas dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu berkata, pelanggan dengan tempahan yang terjejas oleh pengumuman itu akan dihubungi terus dengan pilihan bayaran balik tunai penuh atau penerbangan alternatif jika boleh.

“Bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 31 Julai 2025, akan terdapat beberapa perubahan pada jadual biasa Jetstar Asia, dan kami akan menghubungi terus pelanggan yang terjejas dengan penerbangan alternatif atau bayaran balik penuh,” katanya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast