SEOUL – Jimin dan Jungkook, dua anggota kumpulan mega K-pop BTS, telah menamatkan perkhidmatan mandatori selama 18 bulan, ketika peminat tidak sabar menanti kepulangan mereka.
Kedua-dua bintang itu, berpakaian seragam tentera, memberi tabik hormat kepada orang ramai yang bersorak di kemudahan sukan awam di Yeoncheon, semasa satu majlis ringkas.
Beratus-ratus peminat dan wartawan berkumpul di situ.
Para peminat mereka bertepuk tangan dan bersorak sebaik sahaja mereka berdua tiba.
Jimin dan Jungkook menyambut kehadiran para peminatnta dengan senyuman ceria.
“Sudah agak lama sejak Covid-19 dan kemudian tentera, jadi terima kasih banyak kerana menunggu kami.
“Saya fikir kami boleh terus melukis gambar yang kami bayangkan, dan kami akan menyedia dan menunjukkan kepada anda sisi lebih baik daripada kami,” kata Jimin.
Jimin menambah: “Ia adalah kali pertama saya dalam tentera, dan secara jujur, ia bukanlah tempat yang mudah. Jika anda melihat askar yang lalu-lalang, saya akan sangat berterima kasih jika anda boleh mengucapkan kata-kata mesra kepada mereka”.
Jungkook pula berkata: “Sudah agak lama saya tidak berada di hadapan kamera, dan saya agak malu kerana saya tidak memakai solek pun, jadi saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan,” katanya smbil seterusnya mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan askar yang berkhidmat bersama mereka.
Kedua-duanya berjanji untuk berkongsi lebih banyak cerita semasa siaran langsung di Weverse sebelum dibawa menaiki kenderaan hitam.
Jimin dan Jungkook telah mendaftar sebagai askar bertugas aktif pada Disember 2023 dan berkhidmat dalam Briged Artileri Divisyen Infantri ke-5 Tentera Darat di Yeoncheon.
Sebelum ini, dua lagi ahli BTS, Jin dan J-Hope, menamatkan perkhidmatan mereka pada Jun dan Oktober tahun lalu, serta RM dan V, pada Selasa lalu.
Kumpulan tujuh anggota itu dijangka bersatu semula selepas Suga menyelesaikan tugasnya pada 21 Jun. – Agensi
















