KUALA LUMPUR – Status rekod kesalahan lampau dan terkini pemandu dan pemilik bas seharusnya menjadi antara syarat utama dalam membenarkan pengoperasian pengangkutan awam di negara ini.
Malah, ia sewajarnya terpakai untuk semua pemandu dan semua pemilik kenderaan, awam dan swasta.
Malangnya, kata Pengerusi Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali, rekod kesalahan pemandu dan pemilik bas ghairah dilaporkan oleh menteri dan pelbagai ketua agensi selepas kemalangan berlaku.
Pendedahan rekod-rekod itu bermakna agensi-agensi mempunyai maklumat yang pemandu dan pemilik bas mempunyai rekod kesalahan.
“Apa pihak penguasa buat dengan rekod kesalahan lampau dan terkini yang ada? Simpan sahaja dalam sistem? Perap dalam fail rekod? Tiada siapa yang gunakan? Tiada siapa yang peduli? Tiada siapa yang kisah? Tiada siapa yang periksa? Tiada siapa ambil tindakan? Tiada siapa ingin tahu?
“Peliknya selepas sahaja kemalangan, maka sepantas kilat semua rekod kesalahan lampau dan terkini dikeluarkan,” katanya dalam hantaran yang ditulis di Facebook.
Hari ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyatakan bahawa pemilik syarikat bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan di Gerik didapati memajak permit pengendalian kepada pihak ketiga dengan bayaran hanya RM500 sebulan.
Pemilik syarikat bas itu juga gagal mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS) pada bas berkenaan.
Semalam, polis memaklumkan pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan ketika membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, sehingga mengorbankan 15 pelajar didapati memiliki 18 saman.
Sejumlah 13 daripada saman yang dikeluarkan adalah kesalahan membabitkan memandu laju.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lima lagi saman membabitkan satu kes kemalangan, tiga kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan satu kesalahan tiada lampu brek ketiga.
Semua 18 saman itu masih belum diselesaikan lagi.
Noor Azlan berkata, kalau rekod ini diketahui awal, besar kemungkinan bas berkenaan dan pemandunya tidak akan dibenarkan beroperasi.
“Ada yang sanggup menaiki bas yang pemandunya ada 13 rekod kesalahan? Yang bas berkenaan batal pendaftarannya? Yang tidak menepati lesen yang dikeluarkan?,” tanya.
Menurut beliau, bukan hendak melawan takdir namun, semua penumpang mana-mana pengangkutan bas awam pastinya tidak akan menaiki bas berkenaan ‘kalau’ ini dimaklumkan kepada penumpang sebelum bas bertolak.
“Ada yang sanggup menaiki bas yang pemandunya ada 13 rekod kesalahan? Yang bas berkenaan batal pendaftarannya? Yang tidak menepati lesen yang dikeluarkan?,” tanya Noor Azlan.
Secara sinis beliau turut mengucap terima kasih kepada menteri terbabit dan pihak berkuasa yang melaporkan semua kesalahan lampau dan terkini pemandu dan pemilik bas ini dan membatalkan serta merta lesen dan kebenaran beroperasi.
Namun katanya, agensi di bawah kementerian menteri terbabit berkemungkinan sebahagian besar daripada punca kepada berlakunya tragedi ini memandangkan tanggungjawab memastikan pemandu dan pemilik yang mempunyai rekod kesalahan lampau dan terkini tidak terus beroperasi di jalan raya adalah tanggungjawab agensi kemnterian tersebut.
Soalnya, berapa banyak lagi pemandu dan pemilik bas pengangkutan awam dan kenderaan berat yang mempunyai rekod kesalahan sedemikian.
“Anda boleh kesan mereka? Anda boleh kesan kenderaan yang terlibat? Di mana pemandu yang banyak rekod kesalahan ini sekarang? Di mana kenderaan yang tidak memenuhi syarat ini sekarang? Sedang membawa penumpang atas lebuh raya? Sedang bawa lori yang sarat? Sedang memandu laju? Hampir menyebabkan satu lagi kemalangan?
“Tunggu apa lagi? Satu lagi kemalangan yang mengorbankan nyawa yang ramai selepas ini? Kemudian tampil sekali lagi melaporkan kesalahan lampau dan terkini?,” soalnya.
Sewajarnya, Noor Azlan berkata, kementerian perlu segera menubuhkan pasukan penyiasatan.
“Siasat dan semak di mana salah agensi anda? Di mana yang perlu diperketatkan? Bahagian mana yang bertanggungjawab? Keberkesanan agensi-agensi yang berkaitan berkait rapat dengan kemalangan yang berlaku,” tegas beliau.
Dalam mengakhiri tulisannya, Noor Azlan berkata, kita semua menerima takdir namun kita boleh usahakan sebaik mungkin mengurangkan risiko kemalangan berlaku.
Dalam mengumumkan rekod kesalahan lampau dan terkini pemandu dan pemilik bas, jangan lupa untuk menyemak kesalahan dan keberkesanan agensi masing-masing.
“Maaf, nada saya, nada kecewa. Moga kita semua berusaha memastikan tanggungjawab masing-masing dilaksanakan sebaiknya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
Pemilik bas terlibat nahas Gerik buat 2 kesalahan besar, semua permit dibatalkan secara kekal















