PETALING JAYA – Jumlah kemalangan melibatkan penunggang motosikal di Lebuhraya Persekutuan di bawah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini mencatatkan sebanyak 204 kes.
Jumlah berkenaan meningkat sebanyak 53 kes bersamaan 35.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kemalangan maut melibatkan penunggang adalah yang tertinggi bagi daerah itu khususnya di Lebuhraya Persekutuan iaitu 52 kematian pada tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar
“(Manakala) sehingga Mei sahaja bagi 2025, jumlah kematian melibatkan motosikal adalah seramai 34 orang itu melibatkan kematian di Lebuhraya Persekutuan,” katanya ketika ditemui di Ops Motosikal di sini hari ini.
Sehubungan itu Shahrulnizam berkata, Ops Motosikal bermula hari ini untuk meminimumkan jumlah kemalangan dan kematian melibatkan penunggang di kawasan tersebut.
Menurut beliau, penunggang motosikal yang menggunakan laluan utama boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu didenda tidak lebih RM2,000 dan penjara tidak lebih enam bulan.
“Jadi kita mengambil inisiatif ini supaya pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal sedar bahawa menjadi satu kesalahan menggunakan jalan Utama sebagai laluan mereka sedangkan dibekalkan laluan khas.
“Kita berharap operasi ini memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya dan dalam masa yang sama kita harap khususnya kepada penunggang motosikal sedar bahawa mereka berada dalam risiko (bahaya) terlibat kemalangan sekiranya guna jalan utama,” jelasnya.
Terdahulu Ops Motosikal yang dijalankan di Lebuhraya Persekutuan hari ini dijalankan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Udara (PGU) Subang.
Turut digunakan selain dron daripada Bukit Aman bagi memudahkan tindakan kenal pasti penunggang yang melarikan diri.
“Walaupun ada yang melarikan diri pada hari ini mereka perlu sedar bahawa ada dron di atas yang mencatatkan nombor kenderaan mereka dan saman akan dihantar kepada alamat mereka,” ujar Shahrulnizam.
Tambahnya, selepas setengah jam Ops Motosikal dijalankan, sebanyak 47 saman dan 21 daripadanya dikeluarkan kepada penunggang motosikal.
Dalam pada itu, Shahrulnizam berharap supaya penunggang motosikal sedar akan risiko bahaya sekiranya tidak menggunakan laluan khas.
“Mereka perlu sedar kesalahan yang mereka lakukan iaitu tidak menggunakan laluan mereka yang sepatutnya dan menggunakan laluan utama.
“Ini yang penunggang kena faham, supaya mereka tidak menggunakan laluan utama hak mereka sedangkan sudah disediakan laluan khusus untuk mereka,” katanya lagi.-MalaysiaGazette
















