KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan melaraskan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) atau meluaskan skop penggunaannya, akhirnya pengguna yang akan menanggung bebannya.
Oleh itu, Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau mempersoalkan bagaimanakah kerajaan dapat menjamin pelarasan ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan sekiranya berlaku perbezaan harga, adakah kerajaan bersedia untuk bertanggungjawab.
Beliau mengkritik sehingga kini, Kerajaan Perpaduan masih gagal memulihkan ekonomi negara.
Kebanyakan pelaburan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan rasmi ke luar negara kebanyakannya “tenggelam” dan tidak menjadi kenyataan.
Sebaliknya, dalam tempoh setahun yang lalu, kerajaan terus “menekan” rakyat kecil melalui pelarasan kadar cukai.
Sepanjang lebih dua tahun mentadbir, yang terlihat hanyalah hutang negara semakin meningkat dan kos sara hidup rakyat semakin berat, tambahnya.
“Daripada apa yang dapat dilihat pada masa ini, kerajaan masih belum menunjukkan hasil pendapatan negara yang kukuh, sebaliknya terus berhutang baharu untuk membayar hutang lama. Cukai terhadap makanan import dan peralatan mesin akan meningkatkan kos operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan ini akan menjejaskan daya saing mereka di pasaran serantau,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau bersetuju dengan pendirian Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) kerajaan harus menilai semula syarat ambang kelayakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) iaitu dengan meningkatkan perolehan tahunan daripada RM500,000 sedia ada kepada RM1.5 juta atau RM2 juta, bagi mengurangkan kesan ke atas keuntungan PKS serta harga jualan.
Dominic juga bekeyakinan pengguna ketika ini berada pada tahap yang rendah.
Syarikat barangan pengguna mungkin menghadapi tekanan margin keuntungan, dan walaupun tiada kenaikan harga yang ketara dalam masa terdekat, namun apabila kos operasi tidak lagi dapat ditampung oleh pengusaha, dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, tekanan ini akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna, sekali gus memberi kesan negatif terhadap sektor penggunaan.
“Ketika SST mula diperkenalkan dahulu, kerajaan pernah memaklumkan pelaksanaan SST dapat membantu menstabilkan harga barang. Tetapi hakikatnya, harga barang tidak menjadi lebih murah selepas pelaksanaan SST.
“Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menaikkan kadar SST atau meluaskan skop cukainya tanpa had. Ini bukan sahaja gagal menyelesaikan punca sebenar masalah, malah tidak membantu menambah baik kedudukan fiskal negara,” hujahnya.
Tambah beliau lagi, data yang dibekalkan oleh Kementerian Kewangan tahun lalu membuktikan hasil kutipan daripada SST jauh lebih rendah berbanding dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Sehingga akhir tahun 2023, hasil tahunan SST adalah 51.6% lebih rendah berbanding GST.
“Mengapa kerajaan masih enggan mempertimbangkan cadangan untuk mengembalikan semula GST?,” soalnya. – MalaysiaGazette















